Friday, September 4, 2009

Biarlah adil dalam menangani isu nafkah

Pastinya kaum Hawa khususnya golongan janda yang mempunyai anak dan menghadapi masalah mendapatkan nafkah anak-anak dari bekas suami dapat menghela nafas lega buat seketika. Ini berdasarkan saranan Majlis Pertubuhan Wanita Singapura (SCWO) agar sebuah agensi pemerintah mentadbir pungutan dan pengagihan wang nafkah supaya pembayaran nafkah kepada bekas isteri dan anak-anak dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan

Ini termasuk kuasa untuk mengesan pembayar nafkah menerusi kemudahan dalam talian yang disediakan Pemerintah seperti: Sistem Lapor Alamat Baru Satu Tempat (Oscars), Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB), Tabung Simpanan Pekerja (CPF), Penguasa Hasil Mahsul Singapura (Iras) dan Penguasa Pengawalan Korporat dan Perakaunan (Acra).

Dan jika bekas suami masih tidak menjalankan tanggungjawab moralnya, beberapa langkah tegas lagi tegar seperti menggantung lesen memandu, menyekat perjalanan ke luar negara, mengenakan hukuman penjara hujung minggu, pemotongan automatik akaun bank bekas suami, tunggakan nafkah yang tidak berbayar diubah menjadi hutang kepada negara sehinggalah pada memalukan bekas suami yang degil diketengahkan.
Pastinya pendekatan seperti ini bak membuka mata, minda dan diharapkan menginsafkan bekas suami agar sedar betapa pentingnya nafkah bulanan kerana golongan janda perlu melayari kehidupan yang rumit sekaligus membiayai serta membesarkan anak-anak bersendirian. Disamping itu, tanggapan serta imej negatif ke atas golongan janda juga merupakan satu isu yang perlu dilenyapkan samasekali.
Berbalik pada isu nafkah, terdapat tiga golongan yang perlu keluar memanfaatkan undang-undang yang bakal diketengahkan dan menuntut keadilan ke atas bekas suami yang tidak bertanggung-jawab dalam pemberian nafkah.
Golongan pertama merupakan janda yang tidak mendapat langsung sebarang nafkah manakala golongan kedua pula menerima nafkah tapi tidak mencukupi dan golongan ketiga merupakan penerima yang tidak tetap jumlah wang nafkah.
Namun dalam kita berusaha bertungkus-lumus memberi saranan dan rumusan serta menilai kemampuan bekas suami dari kacamata Pertubuhan Wanita dan pihak berkuasa, perlu juga kita bersikap adil dalam mencari kelemahan yang sering terselindung dalam diri kaum Hawa juga.
Contohnya, masih ada segelintir bekas isteri yang menyalahgunakan wang nafkah. Dengan ertikata yang lain, bekas isteri tidak menggunakan wang nafkah yang diterima untuk keperluan anak-anak sebaliknya digunakan untuk kepentingan diri sendiri semata-mata tanpa pengetahuan sesiapa. Sejauh ini belum lagi ada semacam 'auditing' ke atas nafkah yang diterima dari bekas suami.
Mungkin perkara remeh seperti ini perlu diketengahkan umpamanya, oleh Persatuan Adam pula, jika kita ingin berlaku adil keatas kedua-dua belah pihak ( bekas isteri /suami ) dan jika tidak ditangani, maka akan ada kes-kes seperti bekas suami berhenti memberi nafkah dan tentunya mempunyai alasan-alasan yang kukuh dalam berbuat demikian.
Kesimpulannya, setiap insan mempunyai kelemahan namun usahlah ianya diadili melalui undang-undang, denda dan hukuman semata-mata. Sebaliknya, adalah lebih baik jika pendekatan seperti kaunseling, perantaraan serta bantuan dari aspek rohani dan jasmani ke atas kedua belah pihak boleh dilaksanakan secara tuntas sebelum mengambil tindakan yang lebih serius.

No comments: