Monday, June 23, 2008

Poligami : Yang tersurat dan tersirat.

Poligami : Yang tersurat dan tersirat.

Yang jelas, agama membolehkan kaum lelaki berpoligami dengan syarat layanan mesti adil, saksama dengan tujuan membela nasib kaum wanita terutama golongan janda.

Yang kurang jelas ialah definasi adil,saksama dalam bentuk kasih-sayang dan perhatian payah untuk dinilai berbanding aspek kebendaan.Ini kerana ianya berkaitan dengan hati dan perasaan.

Sebab itulah, terlukanya hati orang wanita bila dimadukan jarang benar dikupas dengan tuntas ( bersungguh-sungguh ) oleh para ustaz sehingga boleh melemahkan dan mematahkan ‘niat’ para suami untuk berpoligami.

Sehingga kini, yang dikupas hanya bersandarkan sunnah Nabi dan ini membingitkan para isteri yang sering disajikan dengan pahala syurga diakhirat sebagai ganjaran. Tambahan pula jika seseorang itu mahir dalam ilmu agama, berbuku-buku nas dan hadis dibentangkan yang lebih menjurus kepada dibolehkan poligami.

Apakah begitu mudah kita mengharapkan golongan wanita menerima sunnah Nabi yang satu ini berbanding ribuan lagi yang lebih dituntut?

Akhirnya, perbincangan isu poligami serta mencari huraian ( sejukkan hati orang wanita ) hanya berlegar kepada sunnah Rasul dalam bab poligami saja.

Yang sering disentuh ialah alasan untuk berpoligami.
Yang tak mungkin dikupas ialah persoalan untuk berpoligami.

Antaranya alasan untuk berpoligami :

- Sunnah Rasul
- Nasib janda ingin dibela.
- Simpati dengan anak-anak golongan janda
- Menambah zuriat umat Rasul
- Kaum wanita lebih ramai daripada lelaki


Persoalannya yang jarang dikupas antaranya ialah :

- apakah kita telah merasakan kehidupan di zaman Rasul dimana ‘perlunya’ ketika itu untuk membela nasib golongan janda yang tiba-tiba kehilangan suami-suami yang gugur di medan pertempuran.

- Jika si suami menafikan berpoligami bukan kerana nafsu, berapa ramaikah yang mencari janda miskin (hodoh) yang mempunyai ramai anak, yang mengalami penyakit seperti barah pangkal rahim/payu dara, ginjal atau cacat anggota fisikal untuk dinikahi?

- Jika kita ingin membela nasib dan bersimpati khususnya golongan janda, mengapakah ada yang memilih untuk berpoligami dengan anak dara sunti.


- Tidakkah hasrat ingin membela nasib/bersimpati boleh saja dibantu dengan wang ringgit secara tetap ( keperluan asas seharian, kos pendidikan bagi anak-anak ) dan tanpa perlu si janda mengadaikan diri untuk dijadikan isteri?

- Jika isteri masih setia, cantik, mengghairahkan, penyejuk hati, apakah alasan untuk bermadu.

- Ramai kaum wanita daripada lelaki dewasa ini – Apakah kajian telah dijalankan yang menunjukkan isyarat jelas terdesaknya golongan wanita perlu ‘berlaki’.

Kesimpulannya, saya sebagai seorang lelaki sendiri, merasakan demi untuk menjaga hak kaum wanita ( yang sering dilihat oleh pihak Barat sebagai diskriminasi dari aspek agama ), perlunya kita bersikap adil dalam menjelaskan duduk perkara yang sebenar ( walaupun dibolehkan agama) dalam konteks kehidupan dan relevannya isu/perkara ini dewasa ini.

Adakah fatwa yang bersyarat perlu dikeluarkan dalam ‘mengizinkan’ poligami dalam konteks kehidupan hari ini atau kita sekadar merujuk dan bersandar kepada sunnah Rasul yang dilakukan 1400 tahun dahulu???

No comments: