Monday, June 9, 2008

Sindrome Sufiah dikalangan remaja kita?

Sepuluh tahun lalu beliau telah menarik perhatian dunia apabila berjaya memasuki Universiti Oxford di England pada usia 13 untuk menggenggam ijazah Sarjana Matematik - menjadikannya anak terbijak paling muda di Britain. Ini sekaligus menjadi kebanggaan kita tapi malangnya ianya tidak berpanjangan.
Baru-baru ini, Sufiah Yusuf, 23 tahun, anak genius matematik asal Malaysia menggemparkan dunia dengan beritanya menjadi pelacur untuk menyara hidup.
Maka tidak hairanlah jika pelbagai andaian/telahan diluahkan oleh masyarakat dunia ke atas keluarga terbilang ini.

Dan di Seminar Globalisasi yang diadakan disini untuk membincangkan mengenai cabaran dan manfaat globalisasi juga, seorang ibu telah menyuarakan keprihatinannya dengan mengajukan soalan kepada para panel undangan terhadap kes Sufiah.

Saya melihat kes ini sebagai membuka mata atas sikap/harapan/displin kita terhadap anak-anak dibawah jagaan kita. Mungkin kita dapat bermuhasabah ke atas segala usaha kita selama ini dalam menjana anak-anak kita agar berjaya dalam aspek rohani dan jasmani - duniawi mahupun ukhrawi.

Namun apa yang menarik perhatian ialah satu mesej yang pernah dihantar oleh Sufiah kepada adiknya yang berbunyi: ".......sudah tidak dapat menahan pencabulan fizikal dan emosi....."

Menurut beberapa pakar, pencabulan fizikal sama hebat implikasinya terhadap pencabulan emosi dan ianya bukan setakat perlakuan ( physical abusel) malah aspek penuturan ( verbal abuse ) juga perlu diambil kira.

Namun yang membimbangkan, berapa ramailah dikalangan individu khususnya para remaja perempuan yang tahu akan definasi sebenar pencabulan fizikal dan emosi yang pernah atau mungkin bakal berlaku ke atas diri mereka? Setakat ini, hanya pencabulan kehormatan,rogol yang sering diketengahkan dan para remaja digesa berhati-hati dan melaporkan pada ibubapa atau pihak berkuasa jika menjadi mangsa.

Namun amatan saya baru-baru ini ke atas dua keadaan yang melibatkan para remaja perempuan mengundang pelbagai pertanyaan dalam diri saya sendiri.

Yang pertama, sering kita lihat anak gadis bertudung ditugas mengutip derma di pintu masuk masjid pada setiap hari Jumaat. Adakalanya terpaksa berdiri di tengah terik mentari dan perlu berdepan dengan ratusan jemaah lelaki.

Bayangkan perasaan anak gadis ini bila dirinya menjadi perhatian khususnya dikalangan golongan lelaki disekelilinginya?

Yang kedua ,bilamana ada perasmian rumah tumpangan bagi remaja perempuan yang menjadi mangsa dera/keadaan atau anak yatim piatu, dapat kita lihat para pengunjung samada para pemimpin, pihak media atau orang perseorangan dengan mudah berinteraksi dengan penghuni-penghuninya. Dengan ertikata yang lain, para penghuni tidak dapat berselindung ( sepatutnya rumah tumpangan adalah tempat mendapat perlindungan ) disebalik keghairahan setiap pengunjung di majlis perasmian sebegini.

Ataukah para penghuni terpaksa ditugaskan berdepan atau berinteraksi dengan para pengunjung yang ada di majlis tersebut?

Persoalannya, tidakkah terlintas di hati kita sejenak akan perasaan anak-anak gadis ini dalam kedua-dua senario ini atau sekurang-kurangnya kita menghormati harga diri anak-anak ini walaupun tugasan yang diberi tampak mulia.

Semoga kita dapat menilai kembali tindakan-tindakan kita dan mengambil kira aspek harga-diri dan perasaan anak-anak gadis kita agar diharapkan sindrome Sufiah tidak akan menular dikalangan anak jati kita.

No comments: