Monday, June 23, 2008

Sanjung maruah anak-anak yatim

Aku mengajak beberapa orang anak yatim piatu dalam lingkungan usia belasan tahun pergi membeli-belah.
Tawar-menawar ke atas harga barangan keperluan seperti baju kurung, kain atau keperluan asas dilakukan di beberapa buah kedai dengan tujuan mendapatkan harga yang termurah. Kalau boleh 'free' lagi baik.

Satu usaha yang murni,bukan?

Ini kerana kita bersikap ihsan ke atas anak-anak yatim demi untuk memenuhi keperluan asas golongan ini. Mereka kurang berkemampuan, oleh itu menjadi tanggung-jawab kita yang mempunyai kelebihan untuk menyara atau membantu golongan ini.

Tapi sedarkah kita, usaha kita sebegini seolah-olah 'mengadai' maruah dan harga diri golongan ini didepan pemilik kedai-kedai tersebut. Bayangkan, kita 'bermati-matian' cuba mendapatkan harga sesuatu barangan itu dengan serendah mungkin tapi kita lupa untuk 'menyelami' hati dan perasaan anak-anak belasan tahun ini yang hadir ketika 'tawar-menawar' dilakukan.

Tidakkah anak-anak yatim ini berasa malu diperlakukan sedemikian hanya untuk meraih sehelai baju/pakaian?

Lebih mengharukan jika senario sedemikian dirakamkan dalam bentuk hiburamal ( rancangan berkonsep hiburan sambil beramal ) yang ditonton oleh sebilangan besar masyarakat kita.

Memang anak-anak yatim ini nampak tersenyum gembira akhirnya bila mendapat pakaian yang cantik. Tapi mungkin juga dek kemiskinan ( tanpa ibubapa, kasih-sayang ), golongan ini terpaksa bak melukut ditepi gantang.

Persoalannya, dimanakah keprihatinan kita dalam usaha ingin membantu golongan anak-anak yatim piatu ini khususnya bagi yang sudah meningkat remaja? Dengan ertikata yang lain, ada berpendapat kita bak 'menjaja' anak-anak yatim ini demi meraih simpati dari para pemilik kedai untuk mendapatkan harga keperluan yang termurah untuk golongan ini.

Pernah tak kita melakukan perkara sedemikian ke atas anak-anak sendiri? Contohnya, kita membawa anak-anak kita dari satu kedai ke kedai yang lain hanya untuk mendapatkan harga yang 'paling' murah dengan kehadiran anak-anak kita?

Mungkin kita beranggapan, selagi kita 'memberi bantuan' sudah mencukupi dalam usaha meringankan kemiskinan yang dihadapi oleh golongan ini. Hati dan perasaan yang tersirat dan tersurat dalam diri anak-anak yatim adalah persoalan yang tidak begitu penting.

Agaknya kita terpaut dengan ungkapan seperti tangan yang memberi lebih baik dari tangan yang menerima. Tapi seingat saya, ada juga ungkapan tangan kanan yang memberi, tangan kiri tidak tahu. Menurut seorang ustaz, konsep kedua ini lebih bersifat 'berahsia' bila hendak beramal supaya tidak timbut perasaan riak. Ianya juga bagi mengelak dari mendapat sanjungan,pujian serta promosi atas usaha dan sifat 'dermawan' kita selama ini.

Oleh yang demikian, dalam usaha ingin membantu atau menyara keperluan anak-anak yatim kita, ada baiknya
dilakukan dengan 'berahsia' agar usaha ini menjadi satu 'surprise - kejutan' bagi yang menerimanya.
Ini bagi memastikan bukan saja lahiriah golongan yang kurang berkemampuan ini terjaga, tapi aspek kerohanian yang merangkumi hati,perasaan, maruah dan harga diri juga terbela pada masa yang sama.

Diharapkan juga, mana-mana pihak yang selama ini ditugaskan menjaga,menyara atau mendidik anak-anak yatim ini, pastikan setiap permintaan atau usaha yang melibatkan golongan yatim piatu untuk program/rancangan amal pihak tertentu, disaring dengan penuh bertanggung-jawab bagi memastikan kita tidak 'mengadai' maruah golongan ini dalam kita ingin membantu mereka.

No comments: