Saturday, August 9, 2008

Ibubapa : Pengaruhilah anak-anak kita.

Boleh dikatakan, isu-isu yang berkaitan dengan remaja sudah puas disenaraikan, dikupas serta proses mencari huraiannya berterusan hingga ke saat ini.
Malangnya, kita masih belum berhasil sepenuhnya mencari satu formula yang berkesan lagi menyeluruh.

Ini disebabkan kerencaman isu-isu remaja seperti berkelakuan liar, pergaulan bebas hingga kes seks diluar nikah. Ini walaupun pelbagai kaedah seperti kertas-kerja yang membincangkan cara menanganinya, para kaunselor yang dilengkapi ilmu berkaitan pergolakkan remaja serta program-program untuk membantu remaja keluar dari lingkaran gejala sosial sering diketengahkan.

Baru-baru ini pula, kita disajikan dengan sebuah rancangan berbentuk infodrama yang mengetengahkan isu-isu remaja untuk tontonan umum.

Segala pendekatan seperti ini diharapkan dapat meredakan atau membendung isu-isu remaja daripada merebak.

Walaupun segala usaha dan proses ke arah mencari satu huraian yang menyeluruh ke atas isu-isu remaja ini amat dialu-alukan serta disokong.
Sayangnya, pada masa yang sama juga, tanpa disedari, kita sebenarnya 'gagal' melihat punca atau akar kepada terbentuknya pendedahan remaja ini pada satu-satu masalah itu.

Maksudnya, mana mungkin seorang remaja dalam lingkungan belasan tahun tiba-tiba terjebak pada anasir-anasir gejala sosial seperti bersikap biadap ke atas ibubapa, pulang lewat malam, bergaul bebas tanpa batasan atau adakan seks rambang.

Pastinya, proses 'negatif' ini perlu melalui berperingkat-peringkat dalam kehidupan para remaja itu sebelum ianya 'meledak' berkelakuan liar.

Oleh itu, mencari punca dan memperbaiki 'akar' pada kehidupan remaja itu lebih penting daripada usaha mencuba untuk menangani masalah remaja belasan tahun yang kebanyakkannya sudah tidak terlentur lagi.

Bak mendapatkan khidmat jurulatih bolasepak terbaik dunia supaya mengajar para penari kita yang tidak pernah kenal sukan bolasepak untuk dijadikan pemain handalan dalam jangkamasa yang singkat. Akhirnya kita bukan saja menghabiskan masa, tenaga dan kos, malah harapan untuk melihat para penari menjadi juara sukan bolasepak tidak akan kesampaian.

Dengan ertikata yang lain, perlu diselongkar dulu antaranya bagaimanakah keadaan latarbelakang keluarga, cara didikan, proses pembesaran dari seawal setahun hingga ke belasan tahun.

Apakah kita lupa bahawasanya setiap anak itu adalah 'produk' yang dikeluarkan oleh ibubapa itu sendiri dan kita yang bertanggung-jawab mencoraknya.

Oleh itu, ada baiknya kita kaji semula proses membesarkan dan mendidik anak-anak remaja kita. Kalau boleh, singkap/kenal pasti setiap masalah atau kegenjotan yang mungkin timbul ke atas anak-anak itu dari masa ke semasa, sejak umur setahun hingga ke belasan tahun.

Ada berpendapat, ilmu bagi memantau dan mendidik anak-anak dari peringkat seawal setahun hingga ke alam remaja kurang diteroka dan didedahkan pada ibubapa.

Sebaliknya, apa yang sering diajar dan didedah ialah cara/pendekatan mendidik ( dengan penuh hikmah/sopan/sabar ) agar anak-anak yang sudah terlanjur/bermasalah/liar supaya berjaya dipujuk untuk pulang ke pangkuan jalan.

Mungkin kita lupa, jika remaja-remaja yang bermasalah ini tahu untuk melakukan perkara-perkara yang buruk, mustahil golongan ini tidak tahu melakukan perkara-perkara yang sebaliknya iaitu menghormati orangtua, rajin meningkatkan diri, teliti dalam pergaulan dan sebagainya.

Atau mungkin golongan remaja ini terlalu mendapat perhatian dan dimanjakan dengan program/pendekatan yang lembut?

Benar. Sering kita dengar ada ibubapa berjaya menjadi doktor, peguam, jurutera tapi anak-anak terbengkalai.
Ini kerana yang berjaya ialah ibubapanya dan tidak semestinya anak-anak turut berjaya kerana naluri, minat seseorang itu amat berbeza.

Kegagalan mendidik anak hanya terletak bilamana kita merasakan dalam setiap proses kehidupan anak-anak itu, kita telah memberikan yang terbaik.

Contohnya dari aspek wang, kebendaan serta menuruti segala kehendak anak-anak dengan harapan, itulah cara menunjukkan kasih-sayang, perhatian dan berharap anak-anak bakal membesar dan menjadi kebanggaan orangtua.

Dengan ertikata yang lain, ada ibubapa yang berjaya tapi gagal mempengaruhi anak itu yang akhirnya menyebabkan anak-anak itu terjerumus dalam kancah sosial.

Sebab itulah, setiapkali anak-anak itu berkelakuan liar dan payah dilentur, pastinya kita kata ' pengaruh' rakan-rakannya.

Sebenarnya elemen ' pengaruh' inilah yang perlu ada ( dalam diri ibubapa ) agar anak-anak membesar mengikut 'acuan' kemahuan ibubapa masing-masing.

Malangnya, sehingga kini belum ada satu formula yang berkesan untuk mengatasi segala isu berkaitan dengan remaja kerana setiap ibubapa mempunyai aspirasi serta tuntutan kemahuan yang berbeza-beza ke atas diri anak-anak.

No comments: