Saturday, August 9, 2008

Kita bakal jadi pendatang asing atau bakat asing ?

Definasi warga pendatang kini boleh dikatakan berbeza berbanding dengan hampir seabad lalu.
Ketika itu, identiti kehadiran pendatang sering terdiri daripada golongan miskin, tiada pengalaman khusus, pedagang atau pengembara yang boleh dirumuskan sebagai pencari nafkah utama. Dengan meninggalkan kampung halaman, anak-isteri, golongan ini merantau ke sini demi untuk keluar dari lingkungan kemiskinan di negara masing-masing. Tujuan utama untuk mencari ruang hidup yang selesa dan terjamin.

Pergorbanan sebegini diambil walaupun destinasi yang bakal dituju belum menjanjikan/menjaminkan sebarang peluang dan ruang untuk hidup. Ini memandangkan ketika itu, boleh dikatakan sektor ekonomi, sistem pemerintahan, perlaksanaan undang-undang serta sosio-budaya belum wujud sepenuhnya. Atau sekurang-kurangnya belum teratur dan tersusun.Tambahan pula, banyak bidang belum diteroka akan hasilnya.

Namun berbekalkan 'tulang empat kerat' serta tekad dan ketabahan, golongan pendatang asing ini bernekad untuk menghadapi segala kemungkinan dan risiko dalam melayari kehidupan di negara asing.

Akhirnya, ramai diantara golongan pendatang asing ini berjaya dengan 'titik-peluh' usaha bertahun-bertahun tanpa banyak bantuan kewangan dari mana-mana pihak atau bersandar pada buku-buku panduan perniagaan, umpamanya.

Kalau dulu, kehadiran golongan pendatang asing dengan 'sehelai sepinggang', kini kejayaan dan kekayaan yang diraih boleh dibanggakan oleh anak-cucu-cicit serta penduduk tempatan. Contohnya, sehingga kini nama-nama mereka tertera samada di institusi-institusi kewangan/perbankan, kesihatan, pendidikan, syarikat peniagaan/pengeluaran produk barangan serta pemaju-pemilik hartanah. Golongan pendatang asing ini merupakan pelopor utama sistem sebegini demi untuk kemaslahatan penduduk setempat. Jasa dan sumbangan golongan ini senantiasa dikenang dan dihargai.

Kini, istilah pendatang asing lebih dikenali sebagai bakat asing. Walaupun bakat asing ini digalak ' berhijrah' ke sini, namun tidak dilihat sebagai pendatang asing kerana kehadiran golongan ini kini sebagai pesaing dalam merebut peluang/ruang yang telah tersedia dengan warga tempatan. Ini merupakan hasil kejayaan negara yang berlandaskan keamanan, kestabilan serta kemakmuran.

Selain itu, sistem meritokrasi yang dilaksanakan oleh pemerintah dimana setiap individu ( samada warga setempat atau bakat asing ) dinilai berpandukan kecekapan, berkaliber, bertanggung-jawab serta kemampuan menjalankan tugas dengan berkesan, dipilih menjawat tugas yang ada. Maka tidak hairanlah, kini ramai dikalangan jurutera, penganalisis komputer- ekonomi, akauntan atau sekadar hanya berbekalkan 'ijazah', sama-sama bersaing merealisasikan impian dan harapan masing-masing.

Tidak dinafikan, walaupun terdapat segelintir bakat asing yang setelah meraih pengalaman disini, lalu berhijrah pula ke tempat lain atau menjadikan negara ini sebagai batu loncatan untuk meraih lebih banyak peluang dinegara-negara yang membangun. Dalam hal ini, pemerintah bersikap terbuka walaupun kos seperti pendidikan, rawatan bersubsidi dikurangkan bagi golongan ini, tiada paksaan untuk menghalang bakat asing melangkah ke negara-negara lain.

Namun bagi bakat asing yang berpotensi dan serius dalam membantu memajukan negara ini demi meningkatkan daya persaingan negara ini di samping mewujudkan peluang ekonomi, kehadiran golongan ini amat dialu-alukan. Tambahan pula, bakat asing juga dapat membantu mengatasi masalah tenaga kerja yang semakin tua di samping kadar kelahiran rendah negara ini, menurut Menteri Negara (Pembangunan Masyarakat, Belia dan Sukan), Cik Yu-Foo Yee Shoon baru-baru ini.

Pada masa yang sama, sejak kebelakangan ini, pemerintah bersungguh-sungguh berusaha memeterai pelbagai perjanjian perdagangan dengan negara-negara ini Timur Tengah. Ini termasuk pelbagai projek yang bernilai bilion dolar menanti warga setempat untuk diteroka dan dibangunkan.

Dalam pada itu, pemerintah menggesa dan menggalak warga setempat yang berbakat merebut peluang/ruang yang telah terbentang luas disana, asal saja komitmen dan kerja keras diterapkan dalam diri kita, tanpa perlu mengadai jati-diri kesingapuraan yang sekian lama bersemadi dijiwa.

Persoalannya, apakah kita yang bakal menyahut seruan pemerintah itu ingin dikenali sebagai pendatang asing atau bakat asing di Timur Tengah kelak?

1 comment:

Anonymous said...

Hi

I am a teacher. Hope that you'll allow me to use articles in your site for teaching purpose.

Regards
Shinelight