Saturday, August 9, 2008

Pemusik jalanan bukan pengemis?

Setiap hari, kita sering melihat pemusik jalanan ( buskers) samada di laluan pejalan kaki stesen MRT, pusat membeli-belah atau jabanah yang menghubungkan dua pusat riadah.

Rata-rata usia golongan ini dalam lingkungan awal 40-an hingga ke lewat 60-an tahun dan sebahagiannya merupakan golongan cacat anggota atau berpenyakit. Dengan berbekalkan alat-alat musik, mereka cuba menghiburkan sambil berharap habuan dari para pejalan kaki yang sudi menghulurkan duit.

Sejak dibenarkan oleh National Arts Council ( NAC ) pada tahun 1997, seramai 141 orang telah berdaftar pada tahun lalu berbanding 84 orang saja pada tahun 2001. Dan menurut ( The New Paper ) bertarikh 11hb. Feb 2007, peserta rancangan hiburan Project Superstar, Kelvin Tan yang telah menempa nama dewasa ini, pernah menjadi pemusik jalanan selama hampir tujuh tahun sebelum ini.

Oleh itu, apakah peranan kita dalam usaha membantu golongan pemusik jalanan ini berjaya dihari muka?

Baru-baru sempat saya bersembang dengan salah seorang pemusik jalanan dalam lingkungan usia awal 40-an tahun.
Menurut beliau, selagi kotak derma ada disisi, biar hebat sekalipun persembahan kita, akhirnya tetap dilihat sebagai pengemis. Ini kerana, ada yang menghulurkan duit tanpa berhenti sejenak melihat atau mendengar persembahan mereka. Yang mengharukan, kotak derma bagi golongan cacat penglihatan dijadikan kotak sampah oleh individu yang tidak bertanggung-jawab dengan mengisi kad-kad tunai kosong, tisu dan sebagainya.

Dari itu, untuk membuka mata rakyat amnya tentang kebolehan para musik jalanan, saya sarankan agar para pemusik yang ingin keluar dari setakat menjadi pemusik jalanan adalah dengan mempromosi khidmat mereka dan elakkan dari meletak tabung derma disisi.

Dengan ertikata yang lain, khidmat-khidmat golongan pemusik jalanan ini boleh digunakan oleh persatuan amal, temasya keluarga, pesta keramaian budaya atau mewujudkan peraduan/pertandingan yang membolehkan golongan ini keluar dari setakat menjadi 'buskers' sepanjang hayat.

Pada masa yang sama, gesaan ini pun bergantung pada setiap individu itu juga. Ada yang merasakan kegiatan sebagai 'buskers' adalah kerana minat dan bukan untuk meraih simpati orangramai dengan menghulurkan derma. Tapi berapa ramai 'buskers' yang berbuat demikian selain mengharapkan bantuan simpati orangramai?

Namun sekiranya ada peluang dan ruang untuk meningkatkan lagi imej 'buskers' setempat, ada baiknya merebut peluang tersebut. Tapi persoalannya, sudahkah ada pihak yang meminat mengorak langkah begini dan berapa ramaikah 'buskers' yang telah mempromosi khidmat mereka dewasa ini?

No comments: