Friday, September 5, 2008

Isu organ: Derma atau jual?

Lagu tema hari kebangsaan beberapa tahun lalu yang membawa maksud antaranya " One people, one nation, one Singapore......ditambah 'one kidney' bagi tujuan gurauan dikalangan para pelajar. Namun para guru yang bertugas memberi reaksi yang negatif ke atas sendaan sebegitu. Sebaliknya, saya beranggapan ianya berkemungkinan menjadi kenyataan dikalangan warga setempat bilamana isu penjualan organ tubuh dan sama ada Kementerian Kesihatan ( MOH) akan membenarkannya pada masa depan, telahpun diutarakan di Parlimen baru-baru ini.
Ini termasuk meneliti idea menyediakan pampasan kewangan kepada penderma organ yang tiada kaitan keluarga dengan penerimanya sebagaimana terdapat permintaan beberapa badan amal dan agama yang mahu memberi sumbangan kepada penderma sebagai mengiktiraf pengorbanan mereka
Namun buat masa ini, HOTA mengharamkan penjualan organ manusia dan mereka yang terlibat boleh dihukum. Dan isu penjualan organ secara haram timbul dan menjadi keprihatinan masyarakat menyusuli penangkapan dua lelaki Indonesia disini kerana terlibat dalam penjualan ginjal mereka secara haram.

Kebimbangan itu turut dirasakan bagi masyarakat Melayu yang bakal menyaksikan 1 Ogos ini dimana Akta Pemindahan Organ Manusia ( HOTA) bakal berkuatkuasa, sekaligus membenarkan organ seperti ginjal, hati, jantung dan kornea diambil selepas meninggal dunia untuk didermakan kepada pesakit, kecuali individu itu tidak mengizinkan semasa hayatnya.

Memang ada segelintir dengan tegas menggesa agar penjualan organ diharamkan samasekali kerana dilihat sebagai tidak beretika, moral,risiko kesihatan, mengeksploit golongan miskin dan bertentangan dengan agama.

Benar. Organ manusia bukan barang dagangan dan jika berlaku, dikhuatiri sifat menderma akan luput samasekali. Menurut Profesor Alastair V. Campbell, pasaran yang berlandaskan harta akan menyarankan pedagang boleh memilih penerima organ mereka. Lantas ianya bercanggah dengan prinsip pemberian berdasarkan keperluan.

Namun saya berpendapat, keunikan warga Singapura lebih menitikberatkan aspek perbincangan terbuka melalui forum-seminar, maklum-balas warga setempat, pandangan para pemimpin agama, aspek undang-undang yang bakal digubal serta dibahas secara tuntas di Parlimen sebelum dikuatkuasakan.

Kita sewajarnya melihat isu penjualan organ kali ini sebagaimana suatu ketika dulu kita juga berdepan dengan isu orang Melayu\Islam disertakan di dalam (HOTA ), dimana kita dapat lihat tentangan hebat dari segelintir masyarakat kita. Namun hasil dari perbincangan dan menganalisis sesuatu isu itu dari pelbagai aspek dan akhirnya dapat menyakinkan sebilangan besar orang Islam menyertai (HOTA).

Tidakkah keyakinan itu timbul daripada sesi-sesi perbincangan, maklum-balas, mencari huraian,dapatan para pakar serta perbahasan yang menyeluruh di Parlimen?

Walaupun ada kawalan berkesan dan mencukupi untuk melarang penjualan organ termasuk tertubuhnya jawatankuasa etika hospital bagi memastikan ianya tidak disalahguna, namun langkah-langkah melarang penjualan organ secara haram belum pasti dapat dikekang sepenuhnya.

Ini kerana boleh saja pemindahan organ dilakukan atas dasar simpati ke atas pesakit tanpa meminta sebarang bayaran. Dan mungkin juga organ dijual demi untuk menampung kos sara hidup anggota keluarga yang cacat atau membiayai kos rawatan/pembedahan akibat penyakit kronik yang tinggi. Atau sekurang-kurangnya kita menyahut seruan anak-anak yang perlukan ribuan dolar untuk menyelamatkan nyawa dek penyakit serius umpamanya, tidakkah pendekatan 'jual organ' boleh dipertimbangkan?

Saya percaya, isunya bukan sama ada kita menderma atau menjualnya. Persoalannya, bagaimana untuk memastikan proses ( derma/jual) tidak disalahguna. Selain itu, jika penjualan organ disahkah, mungkinkah akan mengakibatkan jumlah organ yang diderma melalui ( HOTA) akan merosot dan apakah langkah pencegahannya. Ini memandangkan sesuatu yang 'diderma' amat berbeza dengan 'dijual' kerana adanya manfaat berbentuk kewangan.

Walauapapun alasan disebalik menderma mahupun menjual, yang penting dan genting, organ-organ yang diterima perlu 'sesuai' digunakan oleh si penerima agar dapat meringankan beban kos dialisis dan kemelaratan yang berpanjangan. Dengan ertikata yang lain, ianya perlu menggalakkan kesihatan penderma dan penerima.

Dalam pada itu, apakah pula pandangan Jawatankuasa Muis ke atas isu penjualan organ berbanding menderma organ yang telah diluluskan oleh Jawatankuasa Fatwa Muis sebagaimana yang telah termaktub dalam HOTA.

No comments: