Friday, September 5, 2008

Melahirkan 'mentor' dikalangan kita.

Baru-baru ini terpapar kisah kejayaan dan kecemerlangan anak-anak Melayu kita khususnya dalam bidang pelajaran dengan berlatarbelakangkan kehidupan yang berbeza-beza. Daripada anak seorang ibu tunggal, pengawal keselamatan, pemandu teksi, guru pesara sehingga kepada anak seorang profesor, namun masing-masing mampu membuktikan kerja-keras, komitmen, dedikasi serta displin yang konsisten, merupakan resipi untuk berjaya walaupun adakalanya kemiskinan dan keperitan hidup terus membelenggu sepanjang masa.

Ditambah dengan pengorbanan dan sokongan keluarga, akhirnya bukan saja anak-anak Melayu kita meraih ijazah Kepujian kelas pertama seperti dalam bidang Psikologi dan sosiologi, malah ada yang meraih Anugerah Innergy sebagai mengiktiraf usaha kakitangan sekolah dalam memberi manfaat kepada pendidikan pelajar. Ini termasuk pingat emas yang diraih oleh 9 guru muda Melayu/Islam yang merupakan antara pelajar terbaik kursus Ijazah Sarjana Muda dan Diploma Pendidikan. Selain itu terdapat individu-individu yang menerima biasiswa Anugerah A* Star, biasiswa SembCorp dan biasiswa Yayasan Penyelidikan Kebangsaan ( NRF).

Kisah-kisah kejayaan anak Melayu ini mengingatkan kita bagaimana pada zaman 30-an dulu, sudah ada individu seperti Almarhum Profesor Dr. Ahmad Ibrahim - penerima Biasiswa Queen atau Dr. Sharom Amat yang merupakan antara anak Melayu awal di Singapura yang meraih kepujian kelas pertama.

Dan jika disingkap buku terbitan AMP ( Malays/Muslims In Singapore - Selected Readings in History 1819-1965), terkisah sudah sejarah, peranan, cabaran, perkembangan serta pergolakkan masyarakat Melayu/Islam dalam jangka-masa 150 tahun

Dengan ertikata yang lain, golongan cerdik-pandai ketika itu telah membantu dalam usaha membentuk sosio-budaya dan ekonomi orang Melayu kita.

Kini dengan bertambahnya cerdik-pandai dikalangan masyarakat kita, giliran golongan inilah diharapkan dapat memainkan peranan dan tanggung-jawab ke atas masyarakat kita.

Persoalannya, bagaimanakah sumbangan idea daripada cerdik-pandai kita yang boleh dimanfaat dan diraih oleh masyarakat Melayu setempat dalam konteks kehidupan hari ini yang berdepan dengan permasalahan serta cabaran hari muka? Atau sekurang-kurangnya, golongan ini dianggap sebagai 'mentor' pada masyarakat kita kerana kebolehan mereka dalam menganalisis serta mencari huraian dengan bersandarkan pada kebijaksaan yang ada.

Pertama, mungkin kekuatan daya fikir dan kemahiran menganalisis sesuatu perkara itu dalam bidang pelajaran mereka ,boleh dijadikan sandaran dalam memberi idea-idea baru lagi segar dalam usaha membantu badan serta institusi Melayu setempat mengorak langkah mengatasi setiap masalah atau melakar dan merancang perjalanan masyarakat kita dihari muka.

Kedua, mungkin institusi serta badan bantu diri setempat dapat mengenalpasti peluang, ruang atau tugasan yang lebih mencabar untuk diserahkan sepenuhnya pada individu yang berkebolehan dan memantau prestasinya agar kita kelak mendapat keputusan atau huraian yang memberangsangkan.

Ketiga, golongan cerdik-pandai ini juga perlu bersedia menyahut seruan badan-badan setempat dek kepakaran yang ada dalam diri mereka. Usahlah jual mahal bila kepakaran mereka diperlukan. Memang benar, tugasan membantu meningkatkan taraf dan imej masyarakat tidak selalunya meraih gaji lumayan.
Namun bakti yang dicurahkan demi untuk membela nasib bangsa akan dikenang selamanya.

Keempat, membukukan kisah hidup dan kejayaan golongan ini agar menjadi bahan rujukan, panduan,sandaran dan inspirasi bagi generasi hari muka.

Ayuh bersegeralah ke arah usaha sedemikian sebelum golongan cerdik-pandai ini samada berhijrah atau kita mengalami kerugian angkara kita gagal
untuk memanfaatkan sepenuhnya kehadiran, keupayaan,kebolehan dan kebijaksaan yang ada dalam diri golongan ini.

No comments: