Friday, September 5, 2008

Ramai anak, murah rezeki?

Kita pastinya pernah dengar ungkapan 'ramai anak, murah rezeki , bilamana pasangan muda bersua golongan tua. Dan kata-kata hikmah ini sering dianggap 'benar' kerana gesaan ini disyorkan oleh warga tua yang berpengalaman membesarkan ramai anak dengan rezeki yang murah diwaktu zaman dulu.

Tidak dinafikan, ada yang menganggap anak adalah semata-mata rahmat dan rezeki Allah lalu sanggup menerima sebanyak mungkin.
Ada pula melihatnya bukan saja sebagai rahmat dan rezeki Allah malah perlu juga merencanakan hala-tuju yang berkesan ke atas anak-anak agar menjadi insan yang sesempurna mungkin dihari muka.

Namun menurut beberapa ahli agama yang dirujuk, ungkapan 'ramai anak' membawa maksud antaranya menambahkan umat dan fahaman kekata 'murah rezeki' perlu bersandarkan usaha gigih.

Sebagai contoh, dikatakan 90 peratus dari pintu rezeki terletak dalam bidang perniagaan sebagaimana digalak oleh agama. Akan tetapi, jika hanya bersikap 'bidan terjun' ke dalam bidang perniagaan tanpa ilmu perniagaan, perancangan kewangan, misi dan visi ke arah membangunkan sebuah perniagaan, kelak yang diraih hanyalah kerugian berbanding keuntungan yang diharapkan.

Begitu juga dengan ungkapan ramai anak, murah rezeki dimana setiap institusi keluarga itu perlu berbekalkan ilmu mendidik, mengasuh dan memantau perkembangan anak-anak hingga dewasa merupakan satu tanggung-jawab yang perlu dipikul dengan serius.

Dan menurut Dr. Elizabeth P. Pungello dari Universiti North Carolina, anak-anak yang dibesarkan dalam keluarga miskin dan persekitaran rumah yang kurang terurus menghadapi risiko meningkatnya tekanan diri sebaliknya jika diasuh di pusat-pusat jagaan yang berkualiti pada peringkat awal, kita dapat lihat perbezaan dalam diri anak-anak itu dari segala aspek.

Sayangnya, segelintir keluarga yang hanya berpandukan konsep 'ramai anak murah rezeki' , akhirnya terjerat dengan kos kehidupan yang tinggi disini untuk menyara setiap anggota keluarga sehingga ada keluarga atau anak-anak samada merempat, tercicir dalam bidang pelajaran atau terjerumus ke kancah musibah.

Tidak kurang juga yang mendapatkan simpati dari badan-badan kebajikan dan bantu diri disini bagi mengimbangi perbelanjaan hidup yang
semakin tinggi - ( BM, 29 JUN 2008) - Ruangan Spektra bertajuk : Bergelut untuk hidup.

Jelas, walaupun mempunyai ramai anak sekalipun dan dianggap murah rezeki, jika ketua atau institusi keluarga itu gagal memainkan peranan
dalam menjunjung amanah ( anak-anak) ,pastinya anak-anak itu yang akhirnya menjadi mangsa.

Dan jika anak-anak ini terbiar tanpa nilai-nilai positif yang seharusnya disemai dari keluarga itu sendiri, menurut pojok Pak Oteh baru-baru ini,oleh sebab kurang daya tahan pada jiwa, maka mudahlah anak-anak muda kita terpesong dan terjerumus pada anasir-anasir yang negatif.

Mujurlah, ada program-program yang memperkasa ibubapa dalam mempersiapkan diri dengan kemahiran merancang kewangan keluarga, memahami psikologi dan emosi anak-anak. Tujuannya tidak lain, inginkan ibubapa dapat membina keluarga yang kukuh serta membimbing anak-anak dengan lebih baik.

Namun baru-baru ini, sambutan ke atas seminar yang dianjurkan dibawah naungan Forum Pemimpin Masyarakat bertajuk ' Memperkasa Ibu Bapa' kurang menepati sararannya dimana dewan yang boleh memuatkan 200 peserta hanya diisi dengan 80 orang. Ini mungkin dilihat sebagai sikap sambil lewa oleh segelintir dari keluarga yang dikenalpasti memerlukan bantuan dan sokongan untuk menyara hidup.

Kita juga bersyukur ke atas usaha terbaru MUIS memperkenalkan sistem ZakatMaju yang sejumlah $1.4 juta dolar diperuntukkan bagi keperluan pembangunan anak-anak agar mampu keluar daripada lingkaran kemiskinan.

Jelas, pelbagai usaha telah dilakar dan dilaksanakan bagi memastikan keluaga-keluarga miskin dan bermasalah dapat keluar dari lingkaran musibah secepat mungkin atau sekurang-kurangnya dapat meringankan beban kewangan. Namun pastinya, kerjasama juga perlu dari pihak-pihak yang membutuhkannya.

Walauapapun, usaha membantu perlu diteruskan dan pada masa yang sama, setiap pasangan baru juga perlu jelas akan keupayaan ekonomi rumahtangga yang baru dibina demi memastikan kehadiran anak-anak membawa berkah bukan musibah.

Mungkin ungkapan ' ramai anak, anak terbela' lebih bermakna dan diharapkan membawa berkah sekaligus murah rezeki.

No comments: