Monday, October 6, 2008

Amalan 'bigami' perlu dipandang serius.

Dewasa ini, bagi sang suami untuk bernikah lagi tanpa pengetahuan dan persetujuan pihak isteri, boleh dikatakan 'upacara'nya cukup mudah.
Jika dulu, sang suami perlu ke negara jiran untuk mencari 'kadi', kini bak peribahasa 'pucuk dicita, ulam mendatang'. Cakap mudahnya, kadi dari luar boleh datang ke sini untuk menjalankan akah-nikah walaupun sijil yang bakal dikeluarkan tidak diiktiraf institusi agama setempat.

Walaupun kes-kes sebegini agak terpencil dan terkawal, namun tidak mustahil ianya boleh merebak bagai api membaham rumput kering.
Mujurlah, isu poligami mendapat perhatian institusi agama dan pihak pemerintah sehingga garis-pandu yang disediakan seringkali membantutkan niat para sang suami untuk bernikah lagi melalui saluran yang dibenarkan.

Memang isu perhubungan dan perkahwinan sering diberi perhatian yang serius kerana ianya menjurus ke arah pembangunan sesebuah institusi keluarga yang berlandaskan nilai-nilai moral yang positif.

Berbeza di Barat, perkahwinan boleh juga merangkumi kaum sejenis seperti kisah bintang Amerika, Ellen DeGeneres dengan teman sejenisnya serta Encik Thomas Beatie (asal wanita) yang akhirnya melahirkan anak sulungnya -( BM 27 Julai 2008, Mk 5 - Suami lahirkan anak ).

Setakat ini, kita belum dengar kisah-kisah wanita setempat secara terbuka berani mengikuti jejak langkah seperti Ellen DeGeneres atau Encik Thomas Beatie.
Namun ianya tidak bermakna amalan bigami pula tidak berlaku. Baru-baru ini, kita dah dengar kisah seorang wanita yang berkahwin lain sedangkan beliau belum lagi diceraikan secara sah oleh suaminya. Mungkin ada lagi kisah-kisah sebegini tapi setakat ini ianya masih belum terbongkar.

Jadi persoalannya, jika sang suami secara senyap-senyap bernikah lagi melalui 'jalan belakang', tidak mustahil sang isteri juga boleh melakukan sedemikian.

Dengan ertikata yang lain, sang suami yang ingin bernikah lagi besar kemungkinan akan dapat pilihan hati ( wanita ) yang sebenarnya
masih terikat secara sah dengan suami masing-masing tanpa pengetahuan suami mahupun bakal suami.

Oleh yang demikian, sebelum fenomena ini berleluasa dan tidak terkawal, elok kiranya amalan 'bernikah secara rahsia' tanpa pengetahuan mana-mana pihak ( khususnya bagi suami yang ingin berpoligami ) perlu dipertimbangkan kerana kita tidak tahu duduk perkara dan asal-usul sebenar pasangan masing-masing melalui cara sebegini.

Dan lebih memburukkan lagi bilamana kisah-kisah sebegini terbongkar dan akhirnya merugikan semua pihak yang terlibat kerana saluran sebegini seringkali gagal mendapat simpati mahupun pertolongan mana-mana pihak sekalipun.

Jika disingkap rencana ( BM 27 Julai 2008 - Musnahnya mahligai Bahagia), difahamkan sikap 'curang' dikenalpasti sebagai punca utama perceraian.
Dan jika peratusan isteri yang menuntut cerai pada tahun 2007 meningkat sebanyak 66.2 peratus, apakah dihari muka, kes-kes bigami turut bakal mennyumbang dan merangkumi peratusan penceraian. Perkara sebegini tidak mustahil jika dihari muka, lebih ramai kaum Hawa lebih berpengetahuan mengenai hak-haknya sebagai seorang wanita, isteri sebagaimana dijelaskan oleh Muhd Hafiz Hassan - Hak wanita bukan pada 'terror'nya - BH, 18hb Ogos 2008.

Namun apa yang diharapkan, semoga masyarakat kita dijauhi dengan gejala-gejala sebegini yang seringkali tidak akan membawa sebarang manfaat pada mana-mana pihak malah dilarang oleh agama.

Diharapkan juga kes-kes sebegini tidak berleluasa dan jika berlaku sekalipun, tanggung-jawab masyarakat, badan agama dan institusi pemerintah perlu berganding bahu untuk menanganinya atau menghukum dengan penuh berhikmah dan tegas supaya ianya menjadi satu peringatan pada semua.

No comments: