Monday, October 6, 2008

Perlu ada semangat 'Jauhari' dikalangan kita.

Usia penganugerahan yang berprestij seperti Anugerah Jauhari sudah memasuki tahun yang ke -10 pada Khamis 30hb July 2008 bertempat di hotel Shangri-la.

Cakap mudahnya, sudah 10 piala diserah ke atas tokoh-tokoh yang cemerlang dalam bidang-bidang seperti pendidikan,peniagaan, seni dan budaya, sukan, kerjaya profesional atau kerja sosial. Antara penerima awal ialah Dr. Mansoor dan terkini, Dato' Zain yang telah membuat banyak sumbangan sehingga
meninggalkan kesan mendalam ke atas masyarakat Melayu/Islam selain mempunyai keperibadian yang menyerlah.

Dan seperti mana-mana majlis penganugerahan, ucapan tahniah, tepukan gemuruh, sanjungan disampaikan oleh hadirin ke atas diri tokoh pemenang. Sebaliknya, bagi si penerima, penganugerahan ini sering dianggap sebagai membuka satu lembaran baru dalam diri dan bidang yang diceburi sekaligus mendorong untuk meningkatkan displin, komitmen dan prestasi pada hari muka.

Namun dalam kemeriahan majlis yang lalu, saya tersentuh memikirkan akan 'nyawa' Anugerah Jauhari ini dalam tahun-tahun mendatang.

Dengan ertikata yang lain, mampukah kita dengan mudah mengenalpasti calon-calon yang menepati ciri-ciri seorang tokoh yang layak menerima Anugerah Jauhari dihari muka atau kita bakal dibelenggu dek kekurangan calon-calon yang berkaliber?

Atau mungkin ada calon-calonnya tapi dikhuatiri individu seperti ini tidak mahu menerima Anugerah kerana enggan dianggap/dilihat sebagai satu ikon dan tanggung-jawab yang mewakili masyarakat Melayu.

Namun kerisauan ini dapat diredakan jika masyarakat Melayu sendiri memastikan agar kesinambungan penanugerahan seperti ini akan wujud selamanya.

Caranya?

Setiap individu perlu menanam tekad agar suatu hari nanti dirinya akan dicalonkan berlandaskan sikap kerja-keras, jujur ,komited,berdisplin dan berwawasan. Dan rasanya, tidak salah dan tidak usah malu mempunyai pendirian,matlamat dan kemahuan sebegini.

Sebagai contoh, apakah kita setakat berangan-angan diluar padang bola sudah cukup untuk memberi peluang dan ruang bagi kita menjadi pemain handalan di persada bolasepak nasional mahupun dunia suatu hari nanti? Tidakkah cita-cita dan impian itu perlu diselaputi dengan ilmu bermain bolasepak, latihan dan usaha ke arah meningkatkan prestasi kita dipadang bola?

Begitu juga halnya dengan sebarang penanugerahan yang berprestif yang diperkenalkan disini. Inti atau 'roh' anugerah itu pastinya terkandung nilai-nilai yang positif lagi membanggakan.

Sayangnya, sikap dan sifat positif seperti ini jarang termaktub, berputik atau berkembang dalam jiwa kebanyakkan orang kita dewasa ini. Kita lebih rela dan selesa melihat individu lain merebut peluang keemasan ini dan berjaya dengan pencapaian yang membanggakan. Kita setakat pengamat yang bersikap pasif yang merasakan tahun demi tahun akan ada individu-individu yang akan lahir untuk mencapai kecemerlangan.

Mungkin buat permulaan, ayuh kita semai dan bertekad untuk memupuk nilai-nilai yang positif ini ke atas jiwa anak-anak kita yang sedang membesar agar usaha ini akan membuahkan hasil di hari muka kelak.

Dan tidak mustahil dikatakan jika satu hari nanti 'orang Melayu' juga bakal dicalon untuk meraih Anugerah Nobel Sedunia tapi sayang, berapa ramailah dikalangan kita yang sudah terfikir dan berusaha untuk menjurus ke arah itu?

Sebaliknya, jika kita tidak meraih sebarang Anugerah berprestij sekalipun, sekurang-kurangnya kita telahpun berusaha dan berjaya menyemai nilai-nilai positif lagi murni dan membanggakan di dalam diri kita sebagaimana inti yang terkandung dalam penganugerahan berprestij itu sendiri.

No comments: