Monday, October 6, 2008

Usah dah terlantar sakit, baru dapatkan rawatan

Laporan mengenai kes-kes individu yang sudah menderita dan terlantar sakit dirumah selama berbulan-bulan sebelum akhirnya dibawa ke hospital mengundang satu pertanyaan dalam diri saya. Susah sangat ke untuk mendapat rawatan di hospital?

Apakah penyebab utama yang menghalang golongan seperti ini daripada mendapatkan rawatan di hospital-hospital setempat?

Adakah dek kos rawatan dan perubatan yang tinggi atau sebahagian kita masih dibelenggu sindrom 'takut' ke hospital kerana suntikan doktor sebagaimana fahaman orang tua dulu-dulu.
Mungkin juga ada merasakan layanan hospital tidak memuaskan namun tinjauan terbaru menunjukkan 75 peratus daripada pesakit menyatakan bahawa mereka menerima layanan yang baik di hospital yang telah disusun semula tahun lalu.

Mungkin ada lebih selesa untuk mendapatkan rawatan alternatif atau tradisional dengan harapan penyakit-penyakit seperti barah, tumor,kencing manis,angin ahmar,serangan sakit jantung,darah tinggi dan sebagainya boleh diubati.

Ironinya, sehingga kini cuma rawatan saintifik yang boleh dikatakan berjaya mengesan,merawat dan mengubati penyakit kronik dan berisiko tinggi.

Tidak kurang juga, masih ada segelintir pesakit setakat 'tawakkal' melulu tanpa sebarang usaha untuk mendapatkan rawatan biarpun tahu penyakit yang dihidapi boleh membawa maut jika tidak mendapat rawatan dengan segera. Lebih berisiko seseorang individu itu jika anggota keluarga yang lain sudahpun dikesan dengan penyakit-penyakit seperti ini.

Bayangkan jika setiap individu itu dikesan penyakitnya diperingkat awal, pastinya kos rawatan atau mungkin pembedahan yang dilakukan tidak akan setinggi kos yang perlu ditanggung pada peringkat kritikal. Lebih malang, jika pesakit tidak mampu membiayai kosnya lalu bergantung pula pada simpati orangramai untuk mendapatkan derma bagi merawat penyakit yang sudahpun di tahap kritikal.

Namun di Singapura, setiap pesakit yang sudah mencapai tahap kronik sekalipun, tidak akan diketepikan untuk mendapat rawatan sebagaimana jaminan pemerintah. Ini termasuk ujian kemampuan yang akan diperkenalkan di hospital setempat bagi memastikan setiap pesakit mampu untuk mendapat rawatan yang sesempurna mungkin. Dan jika gagal melunaskan bil-bil hospital pula, pastinya terdapat agensi-agensi yang bersedia membantu untuk mencari huraian agar pesakit tidak akan dibebani hutang bil perubatan sepanjang hayat. - ( BH, mukasurat 4, 16hb Sep 2008).

Namun, sikap kepedulian ke atas kesihatan diri sendiri juga merupakan satu tanggung-jawab bagi setiap individu.

Sayangnya, tidak ramai yang mengambil berat mahupun bertindak untuk melakukan pemeriksaan awal di hospital mahupun klinik setempat biarpun kempen-kempen kesedaran awam sering dianjurkan. Tambahan pula, kos untuk pemeriksaan awal sudah banyak disubsidi untuk memudahkan dan menggalakkan orangramai untuk menyahut seruan kempen tersebut.

Namun ada beranggapan, jasmani seseorang itu dilihat sebagai 'sihat' jika tidak sakit dan bila sakit barulah perlu berjumpa doktor. Sangkaan sebegini lebih berisiko kerana ada penyakit-penyakit yang tidak menunjukkan tanda-tanda awal kecuali bila sudah serius. Dan perlu diingat, pengesanan awal hanya boleh dilakukan di hospital supaya mudah mendapatkan rawatan awal.

Mungkin kempen-kempen pemeriksaan awal kesihatan termasuk memperkenalkan pelaburan insurans dan premium kesihatan boleh digerakkan melalui sekolah-sekolah dengan lebih agresif agar matlamat untuk memastikan setiap individu ( termasuk ibubapa murid atau pelajar itu sendiri) faham akan peri pentingnya kempen-kempen seperti ini dijalankan. Ianya tidak lain bagi meringankan risiko menghidap penyakit-penyakit yang kronik serta boleh mengurangkan dan menjimatkan kos rawatan/pembedahan jika dikesan diperingkat awal.

No comments: