Monday, November 3, 2008

Perlukah label ' anak syarikat milik Melayu' ?

Berbanding beberapa dekad yang lalu, peniaga kita kini sudah berjaya memiliki perniagaan atau syarikatnya sendiri. Umpamanya, kini sudah ada pemilikan syarikat ubah-elok, penjualan kereta, kedai emas, pakaian sehingga khidmat katering yang dimiliki seratus peratus kepunyaan orang Melayu. Sebagai pengguna, kita pastinya berbangga dengan perkembangan ini kerana sekurang-kurangnya peniaga Melayu kita ada tukikan dalam perkembangan ekonomi negara. Dan sebagai pemilik syarikat atau perniagaan Melayu, pastinya sokongan kuat dari masyarakat Melayu/Islam diharapkan agar peniaga kita dapat berkembang maju.

Mungkin atas dasar inilah, kita sering lihat sesebuah syarikat milik Melayu adakalanya meletakkan label ' anak syarikat Melayu' atau ' syarikat Melayu\Islam' samada
dalam majlis perasmian syarikat, risalah atau promosi perkhidmatan yang disediakan. Memang tidak dinafikan, ini bertujuan memastikan orangramai khususnya masyarakat Melayu tahu akan kewujudannya serta khidmat yang disediakan selain sokongan yang diperlukan dari bangsa sendiri.

Pada masa yang sama, nilai-nilai seorang peniaga Melayu juga berkait rapat dengan tuntutan agama supaya bersikap jujur,amanah serta bertanggung-jawab atas segala khidmat yang diberi ketika berniaga. Maka tidak hairanlah, jika orang kita sendiri lebih yakin untuk menggunakan khidmat yang disediakan oleh peniaga kita.

Namun pada masa yang sama, penggunaan label ' anak syarikat Melayu' atau ' syarikat Melayu\Islam' juga boleh membawa risiko jika terdapat segelintir peniaga kita yang kurang bertanggung-jawab dalam urusan perniagaan sehingga menjejas keyakinan pengguna. Peniaga sebegini boleh diibarat seperti mengambil kesempatan terhadap keyakinan dan sokongan yang telah diberikan selama ini oleh anggota masyarakat Melayu sendiri.

Contohnya, kes bertajuk ' $20,000 sudah dilunas.....kontraktor pula lesap' - BH,Selasa 23 September 2008 boleh memberi gambaran negatif ke atas peniaga-peniaga Melayu\Islam kita yang lain. Bak setitik nila, rosak susu sebelanga boleh berlaku kerana peniaga kita merupakan golongan minoriti.

Mungkin ada peniaga Melayu yang enggan menggunakan label seperti ' anak syarikat Melayu' atau ' syarikat Melayu\Islam' kerana khuatir akan kes-kes peniaga Melayu yang tidak beretika ketika menjalankan sesuatu perniagaan itu menjejas perniagaan orang Melayu yang lain.

Tidak kurang juga ada berpendapat, tanpa menggunakan sebarang label sekalipun, jika khidmat atau produk itu bermutu tinggi, pastinya ramai akan melangganinya.

Mungkin dihari muka kelak, selain hanya mempromosi sesuatu produk/syarikat milik kita, ada baiknya kita juga berusaha memperbaiki mutu khidmat serta layanan kita ke atas para pelanggan agar keyakinan/sokongan itu berkekalan hendaknya. Dengan usaha sedemikian, akan lahir beberapa jenama/produk milik syarikat atau perniagaan Melayu yang bukan saja dilanggani orang kita malah disegani oleh bangsa lain. Saat itulah, boleh kita berbangga dengan label ' anak syarikat Melayu' atau ' syarikat Melayu\Islam' .

No comments: