Monday, November 3, 2008

Gesa cendiakiawan sumbang diruang Forum BH

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, saya amati antara wadah yang paling berkesan untuk 'berdakwah' selain ruang sembang siber , merupakan ruangan 'Forum' yang disediakan oleh BH pada setiap Rabu dan Sabtu. Ini kerana selain jumlah pembaca BH yang sudah menjangkau angka puluhan ribu, ruangan Forum juga dilihat sebagai 'suara hati ' terkini akan perihal keprihatinan masyarakat Melayu kita. Antaranya termasuk isu-isu dari sudut pendidikan,pekerjaan,kemasyarakatan, kesihatan dan perkembangan sosio-ekonomi negara.

Sayangnya, kepekaan serta peranan untuk memimpin arah tuju masyarakat kita dan mencari huraian terhadap isu-isu yang masih membelenggu amat kurang direbut oleh masyarakat kita khususnya golongan cendiakiawan seperti asatizah, guru, karyawan, akedemik serta pakar dalam bidang masing-masing. Malah agak jelas juga dari aspek kekurangan rencana mahupun makalah ilmiah yang mudah dirumuskan oleh warga jelata demi untuk keluar dari lingkaran musibah yang dihadapi.

Kita perlu sedar bahawasanya kita hidup dalam satu rumpun dimana kegenjotan yang berlaku ke atas sebahagian masyarakat kita pastinya akan terasa juga kesannya ke atas pihak yang satu lagi. Sebagai contoh, krisis ekonomi yang sedang melanda bukan saja menjejas kestabilan ekonomi negara maju saja.
Kesannya juga terasa ke atas negara-negara membangun sehingga boleh mengakibatkan pembuangan pekerjaan termasuk masalah kewangan.

Apakah para cendiakiawan kita lebih rela melihat isu-isu sebegini hanya akan dirumuskan/dihuraikan oleh agensi pemerintah semata-mata dan badan bantu diri?
Tidakkah terasa semacam satu tanggungjawab yang murni untuk membantu rakyat mengukuhkan lagi ikatan sosial dinegara ini?

Sewajarnya para cendiakiawan usahlah 'lepas tangan' dari berusaha dengan gigih mencerna serta mencari huraian dalam bentuk sumbangan penulisan,pandangan agar tujuan ikhlas ini dapat memanfaatkan orang kita sekaligus memantapkan kedudukan masyarakat kita dalam melayari gelora krisis dewasa ini.

Tidaklah merugikan jika kita mengongsi kepakaran,kajian, rangkaian sumber dengan niat demi untuk kemaslahatan bersama.

Akhirkata, ayuh kita semarakkan pembangunan intelektual yang sihat agar masyarakat Melayu mampu terus meningkatan taraf kehidupan/ekonomi/pembangunan negara, bangsa dan agama sekaligus mewujudkan perpaduan, kesejahteraan serta kemakmuran dan bermanfaat bagi masyarakat kita.

No comments: