Monday, November 3, 2008

Maksud sebenar ' peluang kedua' ke atas bekas banduan?

Sempena persidangan Reben Kuning ( YRC ) keempat di Singapore Expo baru-baru ini, rakyat digesa memberi 'peluang kedua' dan sokongan padu ke atas bekas banduan agar golongan ini dapat diterima kembali ke pangkuan masyarakat dan keluarga. Ini termasuk seruan untuk terus membantu keluarga banduan memandangkan secara tidak langsung, keluarga banduan turut terperangkap dalam 'penjara psikologi ' apabila anggota tersayang dipenjara.

Maka tidak hairanlah jika Rangkaian Gerakan Masyarakat bagi Pemulihan Bekas Pesalah ( Care Network) akan melanjutkan khidmat kaunseling dan pengurusan bagi membantu anggota keluarga banduan yang menghadapi isu-isu serius.

Jika dilihat secara amnya, seolah-olah terletak satu peranan penting pihak yang menyediakan jagaan susulan bagi bekas banduan, termasuk majikan dan agensi kemasyarakatan, selain sokongan keluarga itu sendiri dalam usaha membimbing bekas banduan pulang ke pangkal jalan.

Inilah langkah dan slogan kempen Reben Kuning selama ini bagi memberi isyarat jelas bahawa ada 'peluang kedua' bagi bekas banduan bukan mendiskriminasi golongan ini.

Memang tidak dinafikan seseorang bekas banduan menghadapi pelbagai cabaran rumit selepas dibebaskan seperti mengembalikan keyakinan keluarga, majikan dan masyarakat. Namun syogia diingatkan, tepuk sebelah tangan tak akan berbunyi.

Maka itu kedua-dua pihak ( masyarakat mahpun bekas banduan) perlu bekerjasama dan yang penting dan utama, bekas banduan terlebih dahulu seharusnya menanam niat untuk terus berusaha agar dapat keluar dari lingkaran musibah ini.

Namun timbul persoalan, apakah 'peluang kedua' itu ditujukan pada bekas banduan yang dibebaskan dari penjara buat kali pertama atau ianya merangkumi bekas banduan bentan?

Ini kerana selalunya dari fahaman orangramai, 'peluang kedua' merupakan peluang yang diberi sekali saja pada pesalah pertama. Dan jika perlu diberi peluang berkali-kali khususnya bagi pesalah bentan, maka sewajarnya pendekatan pemulihan seperti program dan kaunseling seharus berbeza agar ianya membuahkan hasil yang berkekalan.

Ini memandangkan aspek pemulihan juga melibatkan kos yang tinggi,sumber tenaga serta program yang bermutu dan pelbagai bagi menyasarkan usaha ke arah mengembalikan para bekas banduan ( pesalah pertama mahupun pesalah bentan ) ke pangkuan masyarakat dan keluarga. Oleh itu, pihak yang terlibat perlu memastikan bahawa ianya mempunyai pendekatan yang berbeza bagi menangani bekas banduan kali pertama mahupun bentan.

Sebagai contoh, pesalah kali pertama jarang disatukan didalam penjara dengan banduan bentan bagi menggelakkan interaksi atau pengaruh yang negatif ke atas diri masing-masing. Begitu juga hendaknya pendekatan yang perlu diambil jika mampu, bila bekas banduan dibebaskan kelak.

Akhirkata, diharapkan segala usaha yang telah dijalankan oleh pelbagai pihak secara tidak langsung dapat menyedarkan bekas banduan betapa masyarakat bersedia menerima golongan ini kembali selagi golongan ini 'bersedia' untuk diterima kembali.

No comments: