Thursday, December 4, 2008

Nasib suami yang bertanggung-jawab terbela?

Sejak isu bapa atau suami yang tidak bertanggung-jawab ditimbulkan dalam sesi dialog antara Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong, anjuran Mesra dan MAEC baru-baru ini, pelbagai pandangan diutarakan demi membela nasib para isteri atau ibu pada anak-anak yang menjadi mangsa.

Walaupun tidak semua golongan 'lelaki' yang bergelar suami atau bapa yang tidak bertanggung-jawab, namun jika dilihat dari angka peratusan aduan yang dibuat oleh para isteri ke atas badan-badan bantu diri, rata-rata bilangan suami/bapa yang gagal memainkan peranan sebagai ketua keluarga agak tinggi juga.

Ada berpendapat ada segelintir aduan yang boleh diibaratkan bak ' lebih sudu dari kuah'. Tidak kurang juga ada merasakan punca suami mengabaikan tanggung-jawabnya dek sang isteri yang kurang fokus dalam isu-isu rumahtangga. Namun secara am, antara puncanya samada bercerai dengan isteri, meringkuk di penjara/pusat pemulihan atau ada yang mempunyai kerjaya sekalipun, tumpuan ke atas anggota keluarga dibawa jagaannya tidak dilaksanakan mengikut tuntutan agama mahupun sosial.

Maka tidak hairanlah, selain kadar perceraian yang tinggi dikalangan masyarakat Melayu/Islam, pemerintah menggesa agar memberi tekanan sosial ke atas kaum suami/bapa yang gagal melaksanakan tanggung-jawab dengan sempurna. Gesaan ini bagi memastikan adanya penakatan dalam aspek membina institusi keluarga yang teguh lagi kukuh untuk hari muka.

Dengan ertikata yang lain, saranan dan rumusan yang ditimbulkan oleh pelbagai pihak dan individu bagi membela nasib para isteri yang 'hak'nya diabaikan oleh sang suami/bapa.

Bolehlah kiranya sang isteri tersenyum dan lega rasa dihati yang selama ini pernah melalui keperitan hidup sebumbung dengan sang suami yang tidak bertanggung-jawab ini.

Nanti dulu, izinkan saya timbulkan satu persoalan yang amat jarang diketengahkan atau dikupas tuntas dewasa ini. Mungkin ianya berkaitan dengan 'ego' sang suami/bapa sehingga soalan cupu emas ini jarang diutara dan dibincangkan.

Persoalannya - Bagaimana sang suami yang bertanggung-jawab selama ini terbela 'nasib'nya bila mempunyai sang isteri yang tidak bertanggung-jawab pula?

Seperti pengalaman Cik Khartini Khalid yang berpeluang menerima banyak aduan dari sang isteri yang diabaikan oleh suami, saya pula sempat bersua dan mendengar kisah-kisah sang suami yang diabaikan pula oleh isteri masing-masing. Antaranya sebagai surirumah sepenuh masa, sang isteri gagal memberi fokus ke atas pengasuhan/didikan anak-anak, perihal rumahtangga,pembaziran dari aspek perbelanjaan rumah,gagal melaksanakan tugas serta tuntutan agama dan tanggung-jawab sebagai seorang isteri. Bak kata ' makan hati', begitulah luahan sebahagian para suami bila berdepan dengan isteri yang tidak bertanggung-jawab.

Saya yakin terdapat kes-kes dimana sang suami yang merungut atau membuat aduan tapi sayangnya, kisah-kisah dan huraiannya tidak diketahui ramai khususnya bagi golongan suami.

Kesimpulannya, setiap insan mempunyai kelemahan dan tanpa disedari juga, setiap tingkah yang buruk ( gagal beri nafkah, curang, abaikan tanggung-jawab dan sebagainya ) adakalanya berpunca dari karenah isteri mahpun suami itu sendiri. Dengan ertikata yang lain, suami/isteri kurang mendapat perhatian dan sokonga dari pasangan masing-masing untuk merealisasikan sebuah keluarga bahagia.

Dari itu, diharapkan dalam masa kita bertungkus-lumus menilai kemampuan sang suami dari kacamata seorang isteri, perlu juga kita bersikap adil dalam mencari kelemahan yang sering terselindung dalam diri kaum Hawa juga.

No comments: