Sunday, February 1, 2009

Curang dek kurang perhatian?

Setiap ikatan perkahwinan itu sering termaktub satu ikrar dan pergorbanan demi memastikan perkongsian hidup itu dapat melayari dan menempuh segala onak-duri,suka-duka,pahit-getir bersama pasangan masing-masing hingga ke akhir hayat. Malangnya, ikrar untuk hidup semati adakalanya berakhir dengan perceraian dek terbongkarnya kisah curang. Dan lazimnya, anak-anak sering menjadi mangsa keadaan. Lihat perangkaan yang terpapar di ( BH,19 Januari 2009, mk3) sekaligus memaparkan kisah curang sesetengah pasangan itu.

Dan bila diajukan ke atas pasangan-pasangan yang ditangkap curang, alasan yang kerap singgah ke halwa telinga ialah kurang mendapat 'perhatian'.
Bak seorang remaja yang ditangkap melakukan jenayah, pastinya pengaruh negatif itu datang dari kawan dan bukan diri sendiri. Dengan ertikata yang lain, kita jarang mengaku atau sedar akan kelemahan yang ada dalam diri sendiri selain menyasarkan pada pihak lain semampu mungkin agar kita terlepas dari kesalahan yang telah dilakukan.

Memang setiap insan ingin disayangi dan menyayangi dari pasangan masing-masing. Namun jarang dikupas ialah ungkapan ' perhatian' atau definasinya.

Menurut pandangan peribadi seorang kaunselor, takrif 'perhatian' boleh saja merangkumi dari segi/aspek nafkah zahir-batin, kasih-sayang, tanggung-jawab terhadap keluarga atau kurangnya azam untuk mengukuhkan institusi keluarga yang bina itu.

Tambahnya lagi, secara amnya, perhatian yang diberi oleh pasangan masing-masing sebenarnya 'banyak' cuma masih 'tak cukup' bagi sesetengah pasangan... sindirnya.

Jadi jika faktor-faktor diatas itu tidak dilengkapi atau tidak diberi perhatian, maka pasangan akan cuba mendapatkan 'nya' diluar sana. Maka berlakulah apa yang dimaksudkan dengan sikap curang. Malangnya, apa yang dihajati tidak kesampaian kerana, pada pandangan saya, setiap yang digelar manusia, tidak akan merasakan cukup/puas melainkan seseorang itu tahu menilai aspek kesyukuran.

Kesimpulannya, usahlah kita berlaku curang dengan alasan kurang mendapat perhatian dari pasangan masing-masing. Sebaliknya, adalah baik jika kita memberi perhatian daripada mengharapkannya. Usah kita celik dek kekurangan orang lain tapi buta pada kelebihan yang ada pada diri kita.

Dengan ertikata yang lain, jika kita kurang mendapat perhatian atau menghadapi sebarang masalah rumahtangga, bukankah tersedia ruang/peluang untuk bertemu pihak kaunselor dari badan-badan bantu diri yang sedia menghulurkan kepakaran dalam menangani isu-isu yang membelenggu sesebuah rumahtangga itu. Ingin seribu daya, enggan seribu dalih.

No comments: