Sunday, February 1, 2009

Sudahkah kita punyai rizab keluarga sendiri?

Pakej Daya Tahan bernilai $20.5 bilion yang diumumkan pemerintah termasuk penggunaan rizab negara bagi mengatasi kesan kemelesetan ekonomi yang kian meruncing / suram menunjukkan komitmen pemerintah ke atas warga negaranya. Antara pakej yang menarik minat ramai termasuklah :

- Digandakan Kredit Cukai Barangan dan Perkhidmatan ( GST),
- Dinaikkan Kursus (PMET/ WIS)
- Rebat cukai pendapatan/hartanah dan (S&CC)
- Tokokan dalam Dana Pengangkutan Awam, ElderCare dan Medifund

Dalam masa yang sama, setiap warga digesa supaya berjimat serta berdisplin dalam aspek kewangan, menabung, berusha gigih dan fokus dalam hal-ehwal institusi keluarga malah kita perlu juga rebut peluang kursus peningkatan kemahiran dalam masa-masa sukar ini.

Dan semua sedia-maklum, pakej kali ini dibantu dengan menggunakan 'rizab' negara oleh pemerintah demi memastikan segala aspek bantuan ke atas syarikat, pekerja, keluarga, golongan susah serta pelajar dapat diselaraskan.

Menurut Dewan Kamus, 'rizab' membawa maksud antaranya, sesuatu yg diperuntukkan atau disimpan khas bagi sesuatu tujuan tertentu.

Jadi timbul persoalan, jika pemerintah selama ini telah 'berdisplin' dalam aspek menabung, berapa ramaikah agaknya institusi keluarga kita yang mencontohi amalan positif ini? Saya kurang pasti jawapannya, tapi yang pasti setiapkali bantuan dihulurkan, bilangan penerima baru semakin meningkat. Mungkin mentaliti bertongkat perlu dilenyapkan dalam minda dan masyarkat kita pada hari muka.

Mungkin ada beranggapan agak sukar menabung dek krisis ekonomi sekarang tapi mahukah kita berjanji untuk mulakan amalan ini bila ekonomi mula berkembang?

Apakata mulai sekarang, setiap keluarga perlu lebih gigih memastikan setiap unit keluarga itu ada 'rizab'nya sendiri dan pastikan setiap bulan/tahun, jumlahnya bertambah walaupun sedikit mana sumbangannya. Latihan dan amalan ini perlu diterapkan dari ketua keluarga hingga ke anak-cucu agar kita tidak kerap ' melukut ditepian gantang' bila mana berlakunya sesuatu krisis dalam keluarga/negara kita.

Saya juga berpendapat lebih baik kita 'berpayung selalu' daripada setakat 'sedia'kan payung sebelum hujan. Dan jika amalan menubuhkan 'rizab' dalam keluarga sendiri dapat dipraktikkan, mungkin golongan yang sememangnya memerlukan bantuan dapat diberi lebih perhatian oleh pemerintah dan badan-badan kebajikan.

Sayangnya, lumrah manusia sering lupa untuk berjimat jika ada kelebihan tapi merungut bila kekurangan. Akhirkata, usahlah berlengah kerana jika berlaku lagi krisis ekonomi dihari muka, kesannya mungkin lebih hebat dari apa yang sedang kita alami sekarang. Ambilah iktibar darinya sebelum terlewat.

No comments: