Tuesday, August 4, 2009

Ayah - Peranan dan tanggung-jawab.

Pelbagai gelaran mengikut citarasa masing-masing seperti ayah, abah, daddy, papa dan sebagainya diberikan ke atas insan yang bertanggung-jawab menghidupkan sesebuah institusi keluarga itu. Memang tidak dinafikan dalam konteks kehidupan hari ini berbanding zaman dulu, peranan ayah memerlukan ketabahan dan kecekalan yang lebih mencabar dalam memastikan tanggung-jawab menjadi ketua keluarga dilaksanakan dengan sesempurna mungkin.
Maka tidak hairanlah, sambutan bagi Hari Ayah yang berlalu anjuran badan-badan swasta setempat yang bertema ala fiesta keluarga telah menarik ramai anggota keluarga menyertainya . Tujuannya bagi meraih dan mengiktiraf pengorbanan si ayah selama ini dalam memupuk dan mendidik anak dan isteri demi keselesaan hidup dihari muka.

Namun antara acara yang menarik perhatian saya di fiesta Hari Ayah ini merupakan sesi-sesi dimana anak-anak diberi peluang meluahkan harapan dan tanggapan melalui perkataan ( yang tidak melebihi 20 perkataan) dan disuruh membacanya di atas pentas. Maka ramailah dikalangan para isteri dan anak-anak remaja, dewasa menyertai sesi-sesi ini. Dalam ratusan yang mengungkapkan luahan hati masing-masing, saya tertarik ke atas dua peserta yang menyertai sesi itu.


Peserta pertama merupakan dua adik-beradik dalam lingkungan awal pertengahan 20-an tahun. Adik perempuan dan abangnya memaparkan nilai-nilai seorang muslim dan muslimah dengan cara pakaian dan pencapaian akademiknya. Antara yang diluahkan berbunyi :

- saya dan adik perempuan saya kini sedang menuntut tahun kedua di universiti setempat
- dalam seminggu, kami berdua belajar agama di masjid sebanyak 3 kali.
- ibu seorang surirumah dan bapa bertugas sebagai mekanik.


Peserta kedua adalah seorang gadis belasan tahun dengan pakaian yang menjolok mata serta bertindik dihidung/bibir dan bertatu di lengan kiri. Adik kembarnya yang lelaki pula bertatu naga di lehernya. Antara yang diluahkan berbunyi :

- kami bersyukur ayah seorang yang bertanggung-jawab, menghormati kami, memberi kasih-sayang tanpa batas dan selalu membimbing serta memastikan
keluarga kami bahagia selalu.

Rata-rata pengunjung disana memberi tepukan yang gemuruh ke atas kesemua para peserta. Namun bagi saya, antara ratusan yang naik ke pentas petang itu, sepatutnya luahan dua peserta ini boleh dijadikan ikhtibar atau renungan ke atas diri kita khususnya para ayah.

Sebabnya, peserta pertama memaparkan 'kejayaan' diri masing-masing atas pengorbanan si ayah selama ini. Sebaliknya peserta kedua pula merasakan ayahnya telah meraih 'kejayaan' dengan melaksanakan tanggung-jawab ke atas anak-anaknya. Lantas kita dapat lihat 'hasil' yang raih oleh kedua peserta tadi.

Pada pendapat saya, kesimpulan yang boleh diraih dari pengamatan ini ialah elemen-elemen seperti memberi perlindungan pada isteri dan anak-anak, mencurahkan kasih-sayang, mendidik dan membimbing dan sebagainya sebenarnya merupakan 'tugasan' yang perlu dipikul oleh setiap insan yang bergelar ayah.

Dan pada masa yang sama, menjadi tanggung-jawab si ayah untuk memastikan 'tugasan' yang dilaksanakan perlulah berakhir dengan 'hasil' - satu pencapaian yang positif lagi membanggakan bagi bangsa,agama mahupun negara.

Inilah kayu ukur sebenar yang boleh dibanggakan oleh anak isteri bilamana pengorbanan dan sentuhan si ayah akhirnya mewujudkan satu keluarga 'sakinah' dimana boleh menjadi contoh ke atas para ayah yang lain untuk menurutinya.

Akhirkata, berapa ramaikah sang ayah diluar sana yang sedar pergorbanan dan tanggung-jawab yang dilaksanakan selama ini belum lagi membuahkan hasil yang diharapkan walaupun aspek 'luaran' saja tampak sempurna dan baik.


MOHD IKHLASH ABDULLAH

No comments: