Friday, September 4, 2009

Tuntut ilmu yang bermanfaat sepanjang hayat

Banyak kekata yang menggalakkan kita supaya rajin menimba dan mempertingkatkan ilmu pengetahuan dalam sepanjang hayat kita.

Antaranya ialah ungkapan seperti ''tuntutlah ilmu walaupun sampai ke negeri China'' ( walaupun terdapat perselisihan mengenai keshahihan hadits ini ) namun apa yang penting ia membawa maksud supaya kita keluar dari zon keselesaan dengan berhijrah atau merantau demi untuk menimba ilmu pengetahuan yang baru. Ini termasuk cabaran dan rintangan dirantauan selain memerlukan pengorbanan masa dan tenaga.

Begitu juga dengan seruan agar " raihlah ilmu dari buaian hingga ke liang lahat" jelas membawa pesanan agar setiap langkah dalam perjalanan hidup ini sememangnya menawarkan satu pengajaran. Dengan ertikata yang lain, ilmu pengetahun boleh diraih dimana-mana samada dengan pergaulan, media-massa, disekolah, pejabat atau melalui pengalaman hidup yang lalu.

Mungkin kita dapat mencontohi jejak langkah seorang wanita yang bernama Eleanor Benz yang berumur sekitar 90 tahun. Khabarnya, beliau pernah tercicir daripada persekolahan dulu kerana mahu membantu keluarga ketika Zaman Kemelesetan Besar. Tapi kini beliau berjaya memperoleh diploma sekolah tinggi di negaranya.Pencapaian beliau memaparkan betapa usia bukan penghalang untuk seseorang terus menimba ilmu.
Tapi sayangnya, ada diantara kita seakan berasa puas setakat pencapaian dalam bidang akademik diperingkat pos - menengah saja biarpun terbentang luas ruang dan peluang yang disediakan oleh pemerintah dan badan-badan setempat untuk kita terus mempertingkatkan kemahiran diri.
Lebih memburukkan lagi bilamana ada segelintir dari kita bertindak bak pepatah ' dengar guruh dilangit, air ditempayan sudah dicurahkan' yang boleh dimaksudkan dalam konteks hari ini dimana kita berhenti dari mempertingkatkan ilmu kemahiran baru ketika ekonomi mula menunjukkan tanda-tanda pemulihan dari kemelesatan.
Itulah antara seruan dan gesaan Menteri Tenaga Manusia, Encik Gan Kim Yong ketika berucap disebuah seminar bagi maktab rendah, Paradigma 2009. ( BH, 16 Julai 2009 - Tiga nasihat bagi belia hadapi gawat )

Namun pada masa yang sama, ilmu yang diraih juga boleh menimbulkan kontroversi jika pengetahuan yang diraih itu tidak menjurus ke arah pembangunan diri dan masyarakat secara umumnya.
Sebagai contoh, ilmu teknik pengklonan biri-biri yang dilakukan oleh saintis di Institut Roslin di Edinburgh, Britain, Dr Ian Wilmut, berpendapat klon manusia atau mana-mana organisme boleh dicipta dengan memindahkan nukleus (yang membawa maklumat genetik) daripada sel organisme yang dipilih ke dalam telur yang belum disenyawakan.
Kita sediamaklum, ilmu-ilmu yang diraih oleh para saintis ini pastinya merangkumi kos serta peralatan yang tinggi , kajian demi kajian selama bertahun lamanya sebelum sesuatu rumusan atau kaedah boleh diperkenalkan. Dengan ertikata yang lain, bukan semua orang boleh jadi saintis yang berjaya.Ianya memerlukan displin,kemahiran, ketekunan dan kajian yang tinggi nilainya.
Sayangnya dek kekhuatiran ilmu seperti ini disalahguna, maka timbullah tanggapan kaedah ini tidak mengikut hukum fitrah (persenyawaan air mani dan telur) sebaliknya dihidupkan melalui sel badan manusia yang berbeza untuk menghasilkan penduaan.
Ianya juga dilihat sebagai perbuatan manusia untuk bertindak diluar daripada peraturan yang ditentukan Allah iaitu kelahiran manusia melalui perkahwinan.

Lantas pengharaman dilaksanakan demi menjaga hukum-hakam, kesihatan, kemasyarakatan dan perundangan negara, bangsa dan agama. Apa yang diperbolehkan setakat ini ialah bagi menghasilkan organ gantian untuk kajian perubatan atau menggantikan organ yang telah rosak.
Disini jelas menunjukkan setiap ilmu yang diraih perlu dipertanggung-jawaban namun ianya tidak menghalang kita untuk terus-menerus meneroka, mengkaji serta melestarikan ilmu-ilmu yang baru biarpun dikatakan 'cuba melaksanakan kerja-kerja Tuhan.'
Kita perlu sedar sebagai insan kerdil, ilmu yang diberi oleh-NYA bak satu titisan air berbanding luasnya lautan ilmu-NYA. Oleh itu, sepatutnya tidak perlu dicap 'cuba melaksanakan kerja-kerja Tuhan ' kerana secara tidak langsung, usaha ke arah meraih ilmu pastinya akan terbantut. Sebaliknya, galakkan agar setiap insan yang berpotensi agar terus mengarap ilmu-ilmu yang baru.
Akhirkata, diharapkan sebarang kemusykilan membabitkan akidah, harus segera diperbetulkan menerusi perbincangan saintis dan ulama, sebelum umat Islam bertelingkah sesama sendiri sehingga mungkin memundurkan umat itu sendiri.

No comments: