Thursday, May 29, 2008

Beri secebis doa untuk warga Israel?

Dari kedai kopi hingga ke mimbar masjid, isu yang bergolak di Timur Tengah mendapat perhatian
dan simpati dari orangramai. Ini berikutan pendedahan terbaru pihak media massa mengenai serangan
habis-habisan pihak Israel ke atas Lebanon.
Dan merujuk isi kandungan rencana tulisan Encik Nahar Azmi Mahmud ( BH 25hb Julai 06) , apa yang boleh dirumuskan,
sehingga kini kita masih samar akan 'niat sebenar' pertelagahan diantara kedua belah pihak walaupun secara
praktikal, mereka ( Israel dan Lebanon ) hanya mempertahankan kedaulatan negara masing-masing.
Walaupun sudah berdekad berlalu namun sehingga kini belum ada rumusan perdamaian yang konkrit dan jelas
proses ini masih jauh untuk dicapai.
Ada berpendapat krisis sebegini hanya boleh diselesaikan oleh negara yang terlibat saja. Campur tangan
pihak ketiga seringkali dilihat menyebelahi pihak tertentu dan akibatnya mencetuskan lagi api kemarahan dan sangsi antara kedua-dua belah pihak.
Tidakkah kita juga bersikap sedemikian?
Memang benar. Kita tidak mampu menjadi pengantara tapi umat Islam setempat
digesa/digalak 'berdoa' demi mencapai keamanan dan kedamaian di rantau timur tengah.
Sayangnya, adakala 'doa' kita juga bertindak berat sebelah dan menjurus ke negara/ pihak tertentu tanpa disedari.
Contohnya, baru-baru ini teks khutbah Jumaat terkandung seruan untuk jemaah berdoa demi kedamaian serta kesejahteraan ummah di timur tengah.
Akan tetapi , ada sebilangan para khatib 'terlalu emosi' dan secara tidak langsung menampakkan 'kebencian' ke atas pihak Israel lantas hanya berdoa untuk kesejahteraan/kemenangan di pihak Lebanon.
Ini termasuk sebilangan dari para jemaah yang menyokong perjuangan pihak Lebanon, kononnya tindakan pejuang Hezbollah demi membela bumi pertiwi dari ditindas oleh pihak musuh.
Mungkin 'perasaan' sebegini dipengaruhi oleh apa yang dipaparkan dari media massa yang adakalanya juga mempunyai agenda-agenda tertentu serta berpihak ke atas negara tertentu.
Yang menjadi tanda tanya, mengapakah warga Israel begitu dibenci?
Masihkah perlakuan dan peradaban Israel dalam zaman kebangkitan Islam dulu (sebelum Hijrah ) masih terbelenggu didalam minda umat Islam kita dalam konteks kehidupan hari ini?
Atau kita terikut-ikut saja 'membenci' dan 'mengutuk' Israel tanpa berlandaskan pemikiran yang rasional dan adil.
Mungkin sekurang-kurangnya kita perlu melihat sesuatu perbalahan dari perspektif yang lebih luas dan saksama?
Bukan bermaksud kita tidak boleh menyokong golongan tertentu yang dianggap tertindas dari perspektif luaran saja. Akan tetapi kita juga perlu mendalami akan budaya, sosio-ekonomi, pemerintahan, sejarah, suku kaum serta arah tuju isu-isu di Timur Tengah yang sering mendapat perhatian seperti Palestin/Lebanon dan Israel.
Tahukah kita terdapat warga Israel yang berusaha 'berdoa' untuk kesejahteraan orang Islam dan kedamaian di Timur Tengah?
Apakah aspek 'berdoa' kita hanya pada satu pihak/golongan tertentu saja? Sedangkan konsep doa adalah untuk menyelamatkan serta diberi petunjuk dan bukan bersifat menghukum.
Sebagai contoh, negara Iraq pernah diserang oleh pihak Barat dan sejurus itu, kita berdoa dan mengutuk pihak Barat kerana menceroboh wilayah dan negara Islam.
Akan tapi realiti sehingga hari ini, puak dan suku kaum di Iraq yang rata-rata beragama Islam masih bertelagah sesama sendiri.
Persoalannya sekarang, puak atau suku kaum manakah di Iraq pula yang ingin kita panjatkan doa untuk kesejahteraan?
Disini jelas menunjukkan doa memainkan peranan untuk kemaslahatan semua pihak tanpa mengenal bangsa/agama dan budaya.
Bukan maksud untuk memperkecilkan peranan doa tetapi kita perlu memanfaatkannya dengan adil akan 'senjata Allah' yang diberikan ke atas umat Islam.
Ini kerana dalam konteks kehidupan majmuk disini, umat Islam tidak mahu 'dicap' sebagai zalim kerana hanya membela pihak-pihak yang seagama dengannya seolah-olah kita tahu benar manifesto pihak Palestin/Lebanon terhadap warga Israel.
Sebagaimana yang boleh dilihat di negara-negara jiran, setiapkali berlakunya konflik yang membabitkan umat Islam,
sebahagian warganya akan berarak membawa sepanduk 'membantah serangan' dengan menuju ke kedutaan masing-masing.
Yang peliknya, seiingat saya, dalam tragedi 911, warganya juga berarak tapi membawa sepanduk bertulis
'hukuman dari Allah untuk warga Barat'.
Gambaran sedemikian menunjukkan seolah-olah menyokong tindakan drastik dan tanpa perikemanusiaan yang dilakukan oleh segelintir individu radikal.
Walaupun disatu pihak ada usaha-usaha yang mengecam tindakan pengganasan tanpa mengira latarbelakang si pelaku/bangsa dan agama.
Tapi dipihak lain, ada usaha yang menyokong golongan ini dengan doa-doa yang dipanjatkan tanpa disedari akan implikasinya.
Diharapkan 'realiti' sebegini dapat menyedarkan kita tentang sikap dan peranan sebenar kita selama ini dalam melihat pergolakan umat Islam diseluruh dunia dengan 'nur' keadilan.

1 comment:

Anonymous said...

cheers