Thursday, May 29, 2008

Cungkil bakat 'dalaman' remaja Islam kita?

Seni hiburan dalam bidang nyanyian sering mendapat tempat dihati para remaja kita.
Lihat saja sambutan dalam kedua-kedua musim peraduan ujibakat seperti Singapore Idol.
Walaupun penglibatan remaja Melayu kita kurang, mungkin disebabkan hambatan bahasa Inggeris,
namun secara keseluruhannya, peraduan sebegini sering dimonopoli oleh golongan remaja.

Walaupun 'suara' merupakan aset yang paling asas dan bernilai, namun wajah yang kacak/cantik,
penampilan menarik serta faktor 'x' sering diperlukan untuk dijadikan pakej bagi tujuan aspek
pemasaran.

Dan genre lagu-lagu lebih bercorak hip-hop, R&B, jazz , pop dan sealiran dengan kehendak citarasa
remaja lebih diketengahkan dewasa ini.

Bagaimana pula usaha untuk melahirkan lagu-lagu berbentuk kerohanian seperti Nasyid atau
sekurang-kurangnya melibatkan lebih ramai remaja Islam kita mengenali bacaan
Marhaban,Selawat,berzanji dan sebagainya?

Lebih hebat lagi jika lagu-lagu berbentuk kerohanian yang membawa mesej keinsafan diri diolah
mengikut rentak hip-hop, R&B, jazz , pop bagi menarik minat golongan remaja yang lebih terdedah
dengan budaya barat supaya pulang ke pangkuan jalan yang sebenar.

Pastinya fokus akan diberikan ke atas pihak masjid setempat untuk mencungkil bakat-bakat 'dalaman'
para remaja kita.

Ambil contoh perpustakaan setempat, bukan saja ianya tempat menimba ilmu tapi diwujudkan ruang
untuk para remaja berkarya, bersembang selagi garispandu perpustakaan dipatuhi sepenuhnya.

Walaupun sudah terdapat kumpulan-kumpulan Nasyid yang dimaksudkan, namun promosi serta
pemasaran nampaknya kurang berdaya dan belum cukup berhasil kesan mesej yang ingin
disampaikan ke atas golongan sasaran.

Oleh itu, selain kita menggembleng tenaga remaja kita dalam bidang kerja-kerja kemasyarakatan seperti
membantu mengumpul dana, membersih rumah tumpangan orang tua-tua, kita juga perlu
mengenalpasti golongan remaja yang berpotensi untuk dibentuk sebagai 'idola Masjid' kita.

Contoh terbaik suatu ketika dulu ialah tertubuhnya kumpulan Raihan dengan membawa lagu-lagu
nasyid komtempori yang sekaligus merupakan satu kejayaan besar dalam industri muzik tanahair.

Ini kerana gubahan,lirik dan lagu mesti dapat menembusi dan memikat setiap halwa telinga yang
mendengar. Ianya perlu sejajar dengan muzik masa kini agar lagu-lagu nasyid tidak dilihat sebagai
lagu-lagu untuk orang masjid saja dan ketingggalan zaman.

Contohnya, lirik lagu perlu membawa mesej seperti semangat meningkatkan diri, bersikap toleran
dalam kehidupan majmuk, mengetengahkan konsep belajar sepanjang hayat dan bukan setakat lirik
berbentuk 'cinta' kepada Allah dan rasul semata-mata.

Oleh yang demikian, bagi mewujudkan 'idola masjid', bukan setakat melahirkan album lagu dan
kumpulan nasyid semata-mata.

Akan tetapi penyertaan para remaja dalam usaha pihak masjid-masjid mencari 'idola masjid' sudah
boleh dianggap satu kejayaan.

Jika dilihat dari perspektif yang lebih luas, konsep 'Idola Masjid' bukan setakat meletakkan
seseorang/kumpulan itu dalam dunia 'glamor' dan mengisi kantung masjid dengan undian sms dari
peminat dan pengikut semata-mata.

'Idola Masjid' yang dimaksudkan berupa individu remaja yang berjaya 'mengegarkan' pesada seni
setempat dengan irama lagu ( lirik/melodi/gubahan ) beserta mesej-mesej kesedaran/keinsafan ke atas
setiap lapisan golongan remaja. Ianya juga tidak setakat berbentuk musiman semata-mata saja.

Akhirkata, perintis rancangan 'American Idol' juga tidak menjangkakan sambutan yang begitu
menggalakkan ketika memperkenalkan rancangan ujibakat tersebut suatu ketika dulu.

No comments: