Thursday, May 29, 2008

Masalah Melayu tiada bertitik?

Isu-isu yang masih membelenggu orang kita seperti penagihan, perceraian, tercicir dalam pelajaran merupakan gejala sosial yang mudah dilihat, dicari dan dikumpulkan sebagai bukti betapa tenatnya masalah ini yang sering dikaitkan dengan bangsa kita. Sehingga baru-baru ini, terasa pulak ‘peri-perlunya’ dipaparkan kembali melalui kaedah pementasan.

Maka terburailah segala isinya pabila pelajar NUS memaparkannya melalui teater yang diberi judul Melayu.com.sg.

Lokasi yang dipilih merupakan pusat seni yang bertaraf dunia.
Sayangnya, peluang ini disempurnakan oleh kita dengan memaparkan kegenjotan yang terkandung dalam masyarakat Melayu kita sendiri untuk tayangan umum.

“ Dalam dunia realiti, masalah kita bak kuman barah yang sedang merebak. Dalam panggung ini pun disajikan isu-isu yang sama?” Tanya salah seorang penonton yang hadir sekadar menyokong rakan kampusnya.

“Melayu.com 1 tentang isunya. Melayu.com 2 mungkin huraiannya.” Seloroh saya selamba sambil menyaksikan persembahan malam pertama.

Memang tiada salahnya setiap aspek kehidupan seharian berhak dipentaskan atas nama seni, biarpun ianya berunsur negatif. Tapi, sekiranya asyik disajikan dengan unsur-unsur sebegini, bolehkah anak-anak kita membentuk peribadi mulia dihari muka?

Memang dalam kehidupan serba moden ini, amatlah mudah untuk dipengaruhi dengan anasir-anasir negatif khususnya bagi golongan remaja. Ini diburukkan lagi jika tiadanya bimbingan agama, perhatian,sokongan dan kasih-sayang dari kedua ibubapa/para pembimbing mahupun masyarakat secara amnya.

Oleh itu, apakah dengan pementasan yang dikelolakan oleh golongan terpelajar ini sudah dapat menyelesaikan masalah yang selama ini seolah-olah menghambat kemajuan orang Melayu kita?

Tidakkah kita lihat betapa ‘sesaknya’ tenaga dan masa yang telah dicurahkan oleh badan kebajikan selama ini untuk menghuraikan isu-isu sedemikian? Ternyata ianya bukan satu tugasan yang mudah dan tanggung-jawab yang ringan.

Daripada sesi kaunseling, program peningkatan, bantuan kewangan sehingga kepada campur tangan pemerintah untuk sama-sama menyelesaikan isu ini selama ini.
Mungkin setakat ini, kita belum mampu mendabik dada mengesahkan tren masalah-masalah orang kita menunjukkan satu angka yang menurun?

Tidak dapat dinafikan, dalam kehidupan, masalah sosial pasti timbul dan perlu ditangani dengan segera agar tidak merebak dan sukar dikawal.

Namun apa yang penting, usaha mencari huraianya itu perlu berterusan.

Ada berpendapat, isu remaja hanya boleh diselesaikan oleh remaja juga kerana lebih ‘bersefahaman’.

Bagi menyokong pendapat ini, sudah tiba masanya, dijemput golongan terpelajar selain bekerjasama dengan badan-badan bantu diri, meresap masuk dengan berbekalkan ilmu-ilmu kemahiran baru dan relevan. Dengan ertikata yang lain, golongan terpelajar ini boleh membantu dengan memberi ‘tunjuk-ajar’ sekiranya perlu agar setiap kelemahan yang selama ini kurang disedari, boleh diperbaiki demi kemaslahatan bersama.

Antaranya :
- Pertubuhan/ anggota lama menyerahkan peluang atau tugasan yang selama ini kurang produktif/berkesan kepada golongan terpelajar.
- memantau keberkesan projek yang dikendalikan oleh golongan ini.
- beri keyakinan / kuasa untuk bertindak dalam melakar projek
- pertubuhan yang kurang berfungsi digabung atau beri peluang golongan terpelajar untuk mengambil alih kerana semangat berkobar-kobar yang ditunjukkan oleh golongan ini untuk menyelesaikan masalah-masalah orang kita.

Ini kerana , dalam pengamatan saya, jika satu pementasan itu boleh dijayakan dengan penuh dedikasi ( termasuk jalan cerita baik, penghayatan watak/dialog, berdisplin, kerjasama, sbg ), tidakkah juga komponen-komponen ini diadaptasi agar tertubuhnya sebuah unit ( pertubuhan ) dalam menyelesaikan isu-isu Melayu kita yang dikendalikan oleh golongan ini juga?

Akhirkata, kita ingin golongan muda ( harapan bangsa) bukan setakat berlakon semata-semata, akan tetapi berani membuktikan kehebatan minda dalam membantu mencorak hala-tuju badan kebajikan/bantu diri yang sedia-ada dalam proses menangani isu-isu orang kita dihari muka.

No comments: