Thursday, May 29, 2008

Konsep bermaafan dipagi Raya, satu budaya?

Dalam bulan Ramadhan, kita digalak mencergaskan diri samada melalui beribadah, bersenam atau melakukan kegiatan bermanfaat walaupun dalam
keadaan kita sedang berpuasa.

Begitu juga dengan sekumpulan budak-budak yang ingin mencergaskan fikiran bermain teka-teki sambil menunggu waktu berbuka
di suatu petang.

Antara teka-teki tersebut berbunyi : " Kekata maaf zahir dan batin, bila kita sering ucapkan?"

"Bila tiba hari raya." Ringkas jawab rakan-rakannya sambil ketawa berdekah-dekah.

Bagi kita, soalan dan jawapan tersebut perlu diselongkar dan mencari pengertian yang sebenar disebalik gurauan budak-budak itu.

Dari aspek agama, kita diwajibkan memohon maaf sejurus melakukan kesilapan atau sekurang-kurangnya sehingga perasaan dan suasana tegang itu reda.
Pada masa yang sama, kita juga dilarang melakukan kesilapan lalu beranggapan boleh ditebus bila menjelang raya nanti.
Menurut seorang ustaz, setelah kita mendidik diri kita dengan erti kesabaran serta 'membersih' rohani dan jasmani dengan berpuasa dibulan Ramadhan,
mungkin amalan 'bermaafan' bak pelengkap (pakej) dipagi raya oleh sebahagian daripada kita.

Tetapi mengapakah kita melakukan dalam suasana raya sehingga tanpa disedari telah mencorak pemikiran anak-anak kita untuk mengamalkannya.
Yang peliknya juga, anak-anak yang sejak dilahirkan belum kesempatan bertemu sanak-saudara juga disuruh 'bermaafan' serta 'menghalalkan' makan minum menjelang Syawal.

Kita sebagai ibubapa pula akan berbangga anak-anak bersikap sedemikian dikhalayak sanak-saudara, sedangkan amalan sedemikian tidak berasas dalam konteks kehidupan secara rasional.

Mungkin ada berpendapat, suasana gembira di bulan Syawal memudahkan kita bermaafan serta mengambil peluang merapatkan hubungan siratulrahim.
Sebaliknya, ada merasakan amalan seperti bermaafan, kunjung-mengunjung, menziarah kubur serta mengadakan 'rumah terbuka' perlu diamalkan sepanjang masa bukan hanya tertumpu atau 'menunggu' bila tiba awal bulan Syawal semata-mata.

Adakah ini amalan budaya kita yang telah dididik ke dalam jiwa anak-anak kita yang sedang meningkat dewasa?
Tidakkah kita juga memberi isyarat yang salah dalam usaha kita ingin menyambut kemeriahan berhari raya ke atas bangsa/kaum lain.
Yang dikhuatirkan juga , amalan sedemikian boleh menjadi 'ritual' dan disalah anggap oleh saudara baru, umpamanya.

Rasanya jika suasana di kampung pendalaman, konsep serta amalan sebegini tidak janggal diamalkan. Ini memandangkan anak-anak sering berjauhan dengan keluarga dek merantau/berkerjaya di kota/negeri. Jadi, bila berkesempatan pulang ke kampung halaman setahun sekali, suasana 'bermaafan' dan ziarah menziarahi serta berdakapan dengan sanak-saudara sungguh menyentuh hati kerana tidak lama lagi, perlu berpisah semula atas urusan kerjaya.

Tapi jika kita saban hari bertembung dengan sanak-saudara, rakan-taulan dalam menjalankan kehidupan seharian, tidakkah 'bercelaru' fikiran anak-anak/bangsa lain bila melihat kita 'bercucuran airmata' bermaafan/berdakapan bila menjelang Syawal.

Mungkin kita 'tertawa' sendiri melihat amalan-amalan sedemikian, tapi kerana sudah sebati dalam jiwa kita sejak turun temurun, maka agak payah untuk kita menjelaskan duduk perkara atau rasionalnya di sebalik amalan-amalan sedemikian.

Akhirkata, saya ingin minta 'maaf zahir batin' jika tulisan saya telah menyentak minda dan perasaan para pembaca untuk melakukan satu introspeksi.

Dengan ertikata yang lain, kita perlu bermuhasabah dalam membuat penilaian terhadap apa saja amalan dalam diri dan bangsa kita selama ini
supaya dapat dibina keyakinan yang lebih kukuh dari masa ke masa serta mengekalkan ' kerasionalannya' disebalik amalan-amalan tersebut.
Kita perlu bersedia membimbing anak-anak generasi hari muka dengan fakta-fakta yang bernas lagi kukuh kerana itulah aspek yang didambarkan
oleh golongan tersebut. Kita tidak boleh hanya berbekalkan konsep 'turun temurun' dalam usaha kita mendidik generasi supaya mengembangkan
jati diri/bangsa dan agama kita.

No comments: