Friday, July 11, 2008

Antara mendisplin dan mendera anak.

Kisah penderaan yang berlaku ke atas mangsa yang terpapar didada akhbar baru-baru ini, bukan untuk membincangkan mengapakah perkara sebegini berlaku dan apakah hukuman yang bakal diterima oleh si pelaku.

Sebaliknya ini memberi kita peluang menilai semula cara kita mendisplinkan anak-anak.

Ini kerana, mungkin ramai dikalangan ibubapa tidak begitu jelas akan definasi dan perbezaan antara aspek ‘mendisplin’ dan ‘mendera’.

Tambahan pelakunya boleh terdiri daripada ibubapa sendiri/tiri, adik-beradik, saudara, jiran, pengasuh atau individu yang mengambil kesempatan ke atas golongan yang lemah dan miskin.

Dan menurut kamus Melayu dera antaranya bermaksud - pukulan (dgn rotan, cemeti,seksa,denda dsb) sbg hukuman.

Akan tetapi kalau dirujuk para pakar dan peguam akan definasi dan implikasi sebenar penderaan, pastinya kita gerun melihat senarainya dan takut untuk menghukum anak-anak kita kelak.
Antara yang boleh difahamkan seperti berikut :-
(a) Secara bersengaja atau dengan disedarinya meletakkan, atau cuba meletakkan, mangsa itu dalam keadaan ketakutan kecederaan fizikal;
(b) Menyebabkan kecederaan fizikal kepada mangsa itu dengan sesuatu perbuatan yang diketahui atau yang sepatutnya diketahui akan mengakibatkan kecederaan fizikal;
(c) Memaksa mangsa itu dengan paksaan atau ancaman untuk melakukan apa-apa kelakuan atau perbuatan, berbentuk seksual atau pun selainnya, yang mangsa itu berhak tidak melakukan.

Berbalik pada definasi ‘dera’ , ianya juga mungkin bergantung dan disebabkan oleh suasana, sekitaran dan penerimaan anak-anak dulu berbanding sekarang.

Contohnya, jika semasa kita kecik dulu, dirembat dengan kepala talipinggang oleh bapa dek kenakalan kita, ianya suatu perkara lumrah. Tapi kini, anak-anak boleh mengheret si pelaku ke muka pengadilan.

Maka itu tidak hairanlah jika pada peringkat awal, kita cuba mendisplinkan anak-anak dengan sekadar teguran/nasihat,merotan tapi tanpa disedari ianya bertukar sehingga akhirnya memukul, guna kekerasan,penderaan seksual,menzalimi, melecurkan tubuh si mangsa atas alasan cuba mendisplinkan anak-anak.

Sebagaimana yang dikatakan, tahap asal ialah bagi memastikan anak-anak atau golongan dibawah jagaan kita berkelakuan baik atau ikut peraturan. Tapi mungkin disebabkan tidak dapat mengawal kemarahan dan tekanan yang dihadapi berpunca dari masalah di tempat kerja, kehilangan pekerjaan dan masalah kewangan, kelakuan anak-anak semakin menguji kesabaran, maka tujuan asal ingin mendisplin sudah bertukar menjadi mendera.
Ada kalanya pelaku berasa puas ke atas tindakannya namun perlu diingat, anak-anak yang membesar di dalam persekitaran keluarga yang tidak mempunyai kasih sayang ( sering didera )akan menjadi manusia yang memberontak dan mengalami banyak masalah bila dewasa kelak.
Untuk mengelakkan terperangkap dalam situasi sebegini, ibubapa perlu
melengkapkan diri dengan kemahiran keibubapaan supaya memahami dengan lebih mendalam proses perkembangan mental,fizikal,kerohanian,emosi dan sosio-budaya
seseorang individu supaya peranan dan hubungan antara setiap ahli keluarga dapat diimbangkan.
Dengan kesedaran,kesungguhan dan keprihatinan individu dalam keluarga, perkara ini bukanlah mustahil untuk dicapai. Sehubungan itu,ibubapa adalah`Role-Model' yang paling berkesan dalam memastikan anak-anak mengamalkan nilai-nilai dan norma-norma murni.

No comments: