Thursday, July 31, 2008

Reaksi kita atas kejayaan Natasha Nabila bak 'bertelur sebiji riuh sekampung?'

Bahang kejayaan Natasha Nabila sebagai pelajar terbaik dalam Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah ( PSLE) tahun
ini sekaligus memecahkan rekod kebangsaan dengan mata agregat 294 , masih terasa kehangatannya, khususnya bagi
masyarakat Melayu kita.

Ini kerana menurut Kementerian Pendidikan ( MOE), agregat Natasha adalah yang tertinggi dalam masa 17 tahun sejak
sistem PSLE sekarang ini dilaksanakan pada tahun 1991.

Jadi tidak hairanlah jika dari para pemimpin, mediamassa serta dikalangan ibubapa yang mempunyai anak-anak yang masih
bersekolah terus membincangkan kejayaan Natasha agar ianya dapat memberi semacam dorongan/semangat ke
atas murid-murid yang lain untuk turut mengikut jejak langkahnya. ( BH, Sabtu, 24 November 2007 - Pemimpin masyarakat akur pencapaian Natasha ).

Namun saya berpendapat kejayaan Natasha merupakan satu 'produk' yang telah siap sejak sekian lama proses
penghasilannya dilakukan. Lantas, adalah lebih wajar untuk kita fokus dan menyelongkar ke atas elemen-elemen yang
menghasilkan produk tersebut. Cakap mudahnya, kita perlu berilmu dalam teknik-teknik mengasuh, mendidik anak-anak seawal usia bayi lagi.

Sayangnya, tumpuan yang keterlaluan sehingga terburu-buru memperkenalkan Anugerah Pencapaian
Khas bagi Kecemerlangan ( BH, Rabu, 28 November 2007 - Anugerah Cemerlang Tahap Nasional ) diperkenalkan pula.

Tidakkah ianya boleh memberi tekanan ke atas pelajar seperti Natasha umpamanya, untuk terus mengekalkan prestasinya di tahap
peperiksaan peringkat selanjutnya?

Ironinya, berapa ramaikah dikalangan pelajar-pelajar diperingkat rendah yang meraih keputusan yang baik satu ketika
dulu , tapi sehingga kini masih mengekalkan reputasi kecemerlangannya dalam bidang pelajaran pabila menduduki peperiksaan GCE peringkat 'O' and 'A' ?

Dari itu, apakata kita kemaskini masalah 'asasnya' iaitu memberi pendidikan awal pada anak-anak usia seawal mungkin. Ini kerana terdapat
laporan yang membimbangkan dimana masih terdapat sebilangan besar kanak-kanak yang tidak mendapat pendidikan awal
dipusat-pusat pra-sekolah dek pelbagai masalah yang dihadapi oleh keluarga masing-masing.
( BH, Khamis, 22 November 2007 - Hampir separuh kanak-kanak tidak ke tadika.......)

Sekiranya trend ini dapat dikemaskini, tidak mustahil lebih ramai anak-anak dikalangan masyarakat kita akan berjaya dihari
muka kerana asas ilmu yang sudah disemai sejak dari awal lagi.

Namun alasan yang sering kita dengar dari sebilangan ibubapa antaranya ialah sukar memberi pendidikan awal kerana ramai anak dan kurang kemampuan.

Tapi lihatlah semangat yang ditunjukkan oleh pasangan suami isteri, Encik Sulaiman Saipin dan isteri, Cik Esah yang berjaya
membesarkan 17 orang anak mereka hingga 13 berjaya ke Universiti. - ( BH, Khamis, 29 November 2007 - Keluarga Berilmu ).

Apa yang penting, biar ramai anak kita yang berjaya ke menara gading daripada 'satu' yang cemerlang diperingkat rendah.
Ini kerana para pelajar yang berjaya diperingkat pra-universiti dan selanjutnya akan lebih terjamin masa depannya serta menjadi
inspirasi kepada lebih ramai dalam masyarakat kita untuk mencapai kecemerlangan yang serupa.

No comments: