Friday, July 11, 2008

Jagalah orangtua kita selagi terjaga.

Kisah orang tua yang menemui ajal sendirian di rumah memang menyayat hati namun paparan sebegini boleh dikatakan kes-kes terpencil. Yang lebih membimbangkan ialah tren meningkatnya golongan tua yang tinggal sendirian tanpa ditemani anggota keluarga yang lain. Dan pada dekad-dekad yang mendatang, jangkakan bilangan peratusan orang-orang tua yang meningkat usia senja bakal bertambah.

Maka itu pemerintah sedang giat melakar prasarana serta kemudahan yang sesuai bagi menampung keperluan warga tua ini. Namun buat masa ini, adalah menjadi tanggung-jawab anak-anak untuk menyara setiap keperluan asas dan memastikan kesihatan golongan tua ini terjamin. Ini kerana jika anak-anak gagal atau mengabaikan tugasan ini, boleh dikenakan tindakan undang-undang.

Bagi masyarakat kita pula, selain tuntutan agama, budaya bangsa kita amat menitikberatkan tanggung-jawab menyara ibubapa oleh anak sendiri dalam melayari sisa-sisa usia senja dan nilai ini amat terpuji sekali.

Dengan ertikata yang lain, ini antara amalan yang terbaik dalam kehidupan anak-anak dalam menjalankan kehidupan dimuka bumi ini.

Namun, tidak semua anak-anak yang dipertanggung-jawabkan atau boleh dipersalah sekiranya tidak melaksanakan tugas sedemikian. Antara kemungkinan, ibubapa tidak 'ngam' dengan menantu, cerewet, ingin berdikari, enggan membebankan anak/menantu dengan kehadiran mereka, lebih selesa hidup sendirian tanpa dikonkong pergerakkan golongan tua ini.

Oleh itu, usahlah kita lekas menuding jari atau mempersalahkan anak-anak jika mendapati ibubapa tinggal sendirian atau merempat dalam melayari kehidupan seharian mereka sehingga ada yang membawa maut.

Sebenarnya, tanpa diketahui, terkandung banyak isu-isu yang tersurat dan tersirat dalam setiap permasalahan diantara hubungan ibubapa dan anak-anak sehingga perlunya berpisah untuk hidup berasingan.

Baru-baru ada yang menyarankan jika anak-anak tertakluk pada undang-undang untuk menyara orang tua mereka, tidakkah perlu juga dikenakan undang-undang bagi golongan tua yang 'berdegil' enggan hidup sebumbung dengan anak-anak yang senantiasa mendambakan kehadiran golongan ini?

Persoalannya, sekiranya golongan tua ini masih enggan mengikut perintah, apakah wajar menghukum mereka memandangkan usia serta kesihatan tidak lagi mengizinkan untuk melalui proses hukuman?

Bagi saya, selain rang undang-undang, anak-anak dan ibubapa yang hidup berasingan perlu 'sedar diri' dan 'bertolak ansur' kerana kedua-dua golongan ini secara amali saling memerlukan antara satu dengan yang lain. Tambahan, ikatan pertalian kekeluargaan antara ibu dan anak tidak perlu terjalin hanya kerana adanya undang-undang. Ianya perlu lahir secara semulajadi sebagaimana kasih-sayang yang diharapkan dari seorang insan.

No comments: