Friday, July 11, 2008

Melahirkan gelaran 'Sir' dikalangan kita.

Besar kemungkinan, reaksi warga Islam setempat mendapat perhatian dunia dek keputusan Britain menawarkan gelaran kesateria kepada novelis Salman Rushdie. Ini termasuk dari negara-negara Islam yang sebahagiannya telah mengadakan tunjuk perasaan dan bantahan ke atas penganugerahan tersebut.

Sebagai tindak-balas ke atas Britain yang mempertahankan keputusannya, Majlis Ulama Pakistan ( PUC ) yang mendakwa mewakili 2,000 ulama Islam dinegara itu, telah memberikan gelaran 'Saifullah', atau ' Pedang Allah' kepada Osama.

Namun bagi warga setempat , setiap isu yang timbul yang membabitkan agama, penganutnya disini sering dilihat sebagai golongan yang lebih bersikap rasional, berdiplomasi dan berusaha mengatasinya dengan ilmu kebijaksanaan. Dengan erti yang lain, ada berpendapat isu ini boleh dilihat sebagai subjektif - boleh diperdebatkan isi kandungan buku tersebut tapi bukan mempertikai penganugerahan tersebut.

Walaupun kita serumpun dan seagama, namun sikap 'kesederhanaan' dan menghormati keputusan pihak lain amat menyerlah dan boleh dicontohi sebagai 'role model' kepada negara-negara Islam yang lain. Pada masa yang sama, kita tidak mahu dicap sebagai 'Pak Turut' ke atas reaksi-reaksi ganas seperti bantahan, ancaman bunuh dan memutuskan hubungan diplomatik semata-semata hanya kerana 'pemberian anugerah yang diberi oleh tangan manusia juga'.

Tambahan pula, berapa ramailah yang benar-benar sudah membaca dan 'memahami' keseluruhan isi kandungan buku yang dianggap penggunaan bahasa yang bukan mudah difahami oleh rakyat jelata?

Oleh itu, jika pencapaian seseorang dalam kerjaya penulisan diiktiraf dunia ( Salman merupakan antara penganut Islam yang telah diiktiraf sistem Britain ), ada baiknya jika kita berusaha melahirkan lebih ramai dan lagi hebat dari Salman Rushdie agar dapat membanggakan dunia Islam yang diharapkan selama ini.

Inilah pendekatan yang sewajarnya dalam usaha kita membenteras fahaman dan unsur-unsur kekufuran yang ditimbulkan oleh golongan yang mempunyai agenda atau muslihat untuk mencemar nama baik agama dalam apa bidang sekalipun. Kita tidak mampu setakat ' melatah' semata-mata dengan tindakan-tindakan yang penuh emosi lagi ganas, kerana akhirnya tanpa disedari, kita memaparkan imej negatif terhadap agama kita sendiri.

Hendaknya, sebagaimana gigihnya usaha musuh-musuh Islam dewasa ini, begitu juga hendaknya kita melipat-gandakan benteng-benteng yang ada unsur-unsur 'ihsan' didalamnya seperti yang disarankan oleh penyelidik agama dan sejarawan, Cik Karen Armstrong baru-baru ini.

1 comment:

SafiahArshad's Antics! said...

U're really a good writer!!.. :-)