Friday, July 11, 2008

Usaha membenteras ideologi ekstremisme

Penahanan seorang pensyarah politeknik di bawah Akta ( ISA) baru-baru ini, menimbulkan pelbagai reaksi yang berbeza-beza di kalangan masyarakat kita. Ada yang melihat usaha-usaha yang dijalankan selama ini bagi membenteras fahaman radikal terutama bagi golongan muda, masih terdapat ruang yang boleh diperbaiki dan dipertingkatkan.

Namun yang lebih membimbangkan bilamana kita lihat reaksi sesetengah warga setempat yang lain. Jika diamati, perasaan terkejut, risau atau musykil bukan kerana adanya individu setempat yang didapati mempunyai pengaruh radikal. Sebaliknya kita lebih memberi fokus ke atas tahap pencapaian akedemik seseorang itu. Dengan ertikata yang lain, gambaran 'orang berijazah' setempat tidak mungkin boleh terpengaruh dengan fahaman radikal, perlu diperbetulkan.

Mungkin ini ekoran penahanan anggota Jemaah Islamiah dulu yang rata-rata tidak berkelulusan diperingkat tinggi.
Namun jika diimbas penahanan pengikut Aum Shinrikyo di Jepun sekitar bulan Mar, tahun 1995, terdapat ramai yang bukan saja berkelulusan tinggi malah berjawatan hebat juga.

Namun kini, imej pengganas yang sering dikaitkan dengan golongan terpinggir, cetek ilmu sekular atau fahaman/penafsiran agama yang menyimpang, mungkin tidak lagi relevan dalam konteks hari ini.

Ini memandangkan dengan ratusan lelaman yang mengandungi sumber-sumber pro-radikal serta tindak-tanduk yang menyakinkan lagi licik, maka tidak hairanlah jika ada golongan bijak pandai juga boleh terpengaruh.

Dan usaha mengesan individu atau aktiviti golongan ini tidaklah semudah yang disarankan oleh Setiausaha Parlimen Kanan ( Pendidikan) Encik Masagos Zulkifli - mukasurat 2, BH Isnin,11 Jun 2007 berjudul Masagos : Pelajari cara kesan curiga di kejiranan.

Ini memandangkan dewasa ini, kita berdepan juga dengan golongan yang 'bersimpati' secara senyap-senyap ke atas individu yang memperjuangkan ideologi ekstremisme. Namun usaha ke arah saranan Encik Masagos Zulkifli boleh dilakarkan jika setiap penduduk estet perumahan bekerjasama demi mencapai misi tersebut.

Tambahan, sudah menjadi budaya hidup, kita perlu menerima hakikat bumi mana yang tidak punyai jenayah?
Oleh itu, sebagaimana pengaruh radikal senantiasa mencari peluang dan ruang untuk meracuni sasarannya, kita juga perlu bertindak sebaliknya dengan lebih agresif lagi berkesan. Ianya bak satu perjuangan melawan musuh yang tiada berkesudahan setakat ini.

Bagi langkah susulan, tidak keterlaluan jika diperkenalkan satu subjek tentang menangkis fahaman radikal diperingkat sekolah rendah lagi.Selain memberi gambaran betapa pentingnya ancaman pengganasan, ianya bagi memastikan anak-anak kita dihari muka tidak mudah terpengaruh serta bijak menangani anasir-anasir negatif ini.

No comments: