Thursday, July 31, 2008

Perkukuh pertandingan ala 'Projek Cerpen' sebelum melangkah ke filem

Penerbit filem Singapura telah digalak supaya meneroka peluang untuk kerjasama dengan syarikat-syarikat penerbitan filem Malaysia dan Indonesia bagi menghasilkan filem-filem Melayu.

Ianya bertujuan dapat mengembalikan industri perfileman Melayu Singapura yang pernah dahulu mekar disini pada tahun-tahun 1950-an dan 1960-an, yang kini hanya tinggal kenangan.

Dan baru-baru ini, sekumpulan mahasiswa Universiti Teknologi Nanyang ( NTU), telah memberikan sari kata dalam bahasa Mandarin ke atas empat filem Melayu klasik bagi tujuan mengenali budaya dan dunia penerbitan Melayu - ( BH, Rabu 12hb Mac 2008).

Langkah permulaan ini amat dialu-alukan dan mungkin pelbagai lagi kaedah boleh dilakar dalam usaha mengenali sejarah dan perkembangan perfileman Melayu.

Bagi membantu misi ini, Menteri Penerangan, Perhubungan dan Kesenian, Dr. Lee Boon Yang, berkata pemerintah akan memperuntukkan dana sejumlah $115 juta sepanjang lima tahun mendatang bagi menjayakan fasa ketiga Bandar Kebangkitan Seni.

Misalnya, dalam bidang penciptaan kandungan dimana Majlis Seni Kebangsaan ( NAC) akan memperkenalkan Dana Tugas Khas sebanyak $700.000 setahun antaranya untuk membangun keupayaan penggubahan skrip dan cerita - Dana $115 juta lagi untuk Bandar Kebangkitan Seni - ( BH, 1hb Mac 2008).

Dengan berita baik ini, mungkin kita usah terburu-terburu dan berura-ura ingin menyahut seruan pemerintah melangkah menghasilkan filem.

Sebaliknya, saya berpendapat, ada baiknya para penerbit setempat boleh bekerjasama dengan stesen-stesen TV seperti Suria dan Sensasi
dengan memperkukuhkan lagi pertandingan ala 'Projek Cerpen' yang diperkenalkan baru-baru ini.

Ini memandangkan sambutan yang menggalakkan dari bakat-bakat setempat dalam bidang penulisan, mungkin pertandingan ini boleh dijadikan acara tahunan secara tetap.

Selain itu, kita akan sering disajikan dengan cerita-cerita yang segar, tema yang berbeza, selera terkini serta kepelbagaian isu dalam konteks kehidupan disini boleh diketengahkan.

Pada masa yang sama, peluang para pelakon veteran dan baru boleh juga diketengahkan sepenuhnya sebagaimana harapan
Puan Syarifah Zainalabidin ( Ruangan Forum, BH 19 Mac 2008 ) - Serap veteran bagi drama TV.

Berbalik pada saranan awal, sebagai contoh, jika 'masalah Melayu' seperti penagihan hingga ke keciciran dalam pelajaran sering mendapat perhatian kita, apakata para penulis digesa melalui penghasilan cerpen mencari huraiannya dan TV boleh membantu sebagai wadah yang mudah mempergaruhi minda para penonton.

Secara tidak langsung, gabungan para penulis, penerbit dan TV boleh memainkan peranan mengembalikan imej orang Melayu dalam membantu menyelesaikan masalah-masalah yang sering menghantui orang kita.

Ini kerana jika dikatakan sastera Melayu kurang mendapat penglibatan aktif dan sokongan badan-badan Melayu/Islam setempat seperti luahan tiga penulis mapan di program Akhirkata pada 14hb Feb 2008, kerjasama stesen-stesen Melayu pula boleh membuktikan sebaliknya.

Sebagai contoh, kita faham, setiap stesen TV seperti Suria dan Sensasi mempunyai misi dan matlamat utama dalam memberi saluran alternatif dan pilihan masing-masing dalam menarik seramai mungkin penonton dalam menyajikan rancangan-rancangan yang bermutu.

Namun tiada salahnya jika setiap stesen TV Melayu setempat sama-sama mengembangkan lagi pertandingan ala 'Projek Cerpen' dalam usaha membangunkan dan menyemarakkan lagi bidang sastera penulisan dikalangan penulis serta bakat-bakat setempat.melalui wadah seperti TV.

Semoga usaha-usaha sebegini akan membantutkan niat bakat-bakat seni dalam dunia sastera Melayu setempat berhijrah dek sokongan yang dikatakan lemah disini.

No comments: